On Hafiz Ghazi pada majlis Baucar Pakej Pelancongan Johor di Iskandar Puteri, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor menjangkakan peningkatan kunjungan pelancong bermula bulan ini susulan baucar pelancongan berjumlah RM1.5 juta yang boleh ditebus bermula Jumaat ini.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, baucar tersebut menawarkan diskaun kepada pengunjung.

Ia merupakan inisiatif kerajaan negeri sebagai tarikan pelancong untuk berkunjung ke taman tema, taman negara mahupun pulau-pulau yang ada di negeri itu, jelasnya.

“Sebanyak 15,000 baucar pelancongan ditawarkan kepada orang ramai menerusi aplikasi Johor Tourism Interchange (JTI) boleh ditebus sehingga 30 November.

“Menerusi program itu, sejumlah 200 pakej pelancongan ditawarkan menerusi 40 ejen pelancongan yang telah mengambil bahagian dalam program baucar pelancongan kali ini,” katanya pada sidang media mengenai Baucar Pakej Pelancongan Johor, di sini, hari ini.

Kata Onn Hafiz, pemberian baucar pelancongan itu diyakini dapat merancakkan kembali industri pelancongan di Johor, sekali gus dapat membantu penggiat industri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Di peringkat negeri sudah tentu saya mengharapkan agar baucar pelancongan ini mendapat sambutan. Sekiranya berjaya, baucar pelancongan diteruskan untuk tahun depan.

“Saya berharap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dapat memberikan peruntukan tambahan kepada sektor pelancongan negeri yang mula hendak berkembang selepas kebenaran rentas negeri diumumkan sejak 11 Oktober lalu,” katanya. – MalaysiaGazette