Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor di Muar hari ini.

MUAR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan  bilik guru di sekolah mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penekanan yang sama sudah diberikan terhadap bilik darjah sebelum ini bagi memastikan suasana  selamat untuk pelajar.

“Pengudaraan ini perlu diberikan perhatian khusus sebelum ini ramai yang keliru sedikit tetapi akhirnya semua pihak dapat memahami kepentingan pengudaraan yang baik dan memastikan (tahap pengudaraan) di sekolah berada pada tahap paling optimum.

“(Pengudaraan yang baik) di bilik darjah sudah selesai tetapi di bilik guru yang gunakan penghawa dingin sebagai contoh, sebaiknya ada pengudaraan dengan membuka tingkap bagi membolehkan keadaan lebih untuk guru-guru,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor hari ini.

Pada Isnin lalu media melaporkan lebih 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah melibatkan empat negeri yang sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan.

Jumlah itu merangkumi 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) dan 652,148 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.

Mengulas mengenai Bajet 2022, Radzi berpuas hati dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana KKM mendapat peruntukan besar iaitu kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan bajet berkenaan.

Pengumuman itu akan memberi manfaat terutama membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan di 10,000 buah sekolah seluruh negara.

“Menerusi Bajet 2022 ini juga RM50 juta diperuntukkan untuk murid berkeperluan khas. Ini perkara yang sentiasa kita tekankan, pada tahun ini (menerusi Bajet 2021) kita memperoleh RM45 juta manakala pada tahun depan (menerusi Bajet 2022) kita memperoleh RM50 juta,” katanya.

Katanya, dana itu akan digunakan untuk segmen-segmen baharu dalam melonjakkan pendidikan khas tersebut agar pelajar tidak ketinggalan.

“Dalam konteks kemasukan sekolah tahun depan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pemberian susu setiap hari kekal manakala bantuan persekolahan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150,” katanya.-MalaysiaGazette