Seorang petugas kesihatan memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di ICU Hospital Kuala Lumpur. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2022 yang memperuntukkan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membina daya tahan negara ke fasa endemik Covid-19 mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat.

Belanjawan tahunan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu dilihat satu keprihatinan kerajaan apabila peruntukan kesihatan adalah kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tinjauan MalaysiaGazette di sini mendapati kebanyakan orang ramai menyambut baik langkah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob engan harapan dapat menambah baik sistem kesihatan.

Menurut seorang warga emas, Arumugam Sengani, 76, peruntukan besar kepada KKM itu diharapkan dapat menambah baik sistem kesihatan sosial termasuk memperkenalkan semula klinik komuniti seperti Klinik 1Malaysia yang pernah diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Belanjawan 2010.

 

Arumugam Sengani

“Klinik 1Malaysia sangat bagus, lagi dekat dengan rakyat lagi bagus. Tapi sekarang semua sudah tutup. Kalau boleh kembalikan semula Klinik 1Malaysia, tapi dulu klinik ini tiada doktor, hanya ada jururawat, kadang-kala tak cukup ubat, walaupun bagus tapi kekurangan ini perlu diatasi.

“Kita mahu klinik ini dibuat di setiap kawasan, kalau boleh kena perbesarkan klinik, tambah bekalan ubat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Seorang pesara perkhidmatan awam, Mahyudin Sarji, 63, menyifatkan langkah kerajaan memperuntukkan dana besar kepada KKM adalah tepat, bersesuaian dengan pengalaman negara ketika menghadapi pandemik sejak tahun lalu.

Mahyudin Sarji,

“Peruntukan besar diberikan untuk tujuan kesihatan sangat dialu-alukan, kalau dana ditambah untuk kesihatan itu baguslah.

“Walaupun saya menerima rawatan sudah 15 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), tidak dinafikan saya juga menerima tempias peruntukan besar ini, terima kasih kerajaan,” katanya.

Selain itu, seorang kakitangan swasta pula, Swee Kim Lan, 57, berkata, peruntukan besar dapat menjamin kesihatan rakyat lebih baik selepas ini menjelang endemik Covid-19.

“Bajet 2022 yang kerajaan bagi itu baguslah untuk rakyat, pastikan peruntukan ini benar-benar melindungi kesihatan rakyat,” katanya.

Sementara itu, bagi Hannah Abu Bakar, 68, dengan peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2022, ia dapat memberi kelegaan kepada petugas kesihatan, sekaligus dapat menambah baik kualiti perkhidmatan hospital dan klinik kerajaan sedia ada.

Hannah Abu Bakar,

“Mudah-mudahan ada perubahan pasal dengan Covid-19 dan bermacam masalah, orang tiada pekerjaan.

“Yang kaya tolong yang miskin, jangan yang kaya bertambah kaya, dengan slogan Keluarga Malaysia, mudah-mudahan Melayu, Cina, India dan lain-lain dapat berbaik-baik, tak perlu perkauman.

“Dengan peruntukan besar ini bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pun kualiti perkhidmatan awam akan bertambah baik khususnya di hospital dan klinik kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cukai Makmur bantu biaya kos kesihatan negara – Tengku Zafrul