KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) memohon maklumat daripada orang ramai untuk mengesan bekas Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Bhd (AMGB), Ricky Wong Shee Kai.

Kenyataan SC hari ini memaklumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Wong oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 29 September 2021 bagi kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Wong telah memberikan kenyataan palsu berkaitan pemerolehan AMGB sebanyak RM11.13 juta kepada Bursa Malaysia. Beliau telah bebas sejak Disember 2019,” menurut kenyataan itu.

Katanya, Wong berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 369(b)B CMSA dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM3 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

Pada 30 September 2021, SC telah mendakwa bekas Akauntan Kumpulan AMGB, Ong Kar Kian di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kesalahan sama.

Sebelum ini, pada 27 Disember 2019, waran tangkap dikeluarkan terhadap Wong oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas beliau berulang kali gagal menghadirkan diri di hadapan pegawai penyiasat SC susulan notis mengikut Seksyen 32(3)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Wong diminta melaporkan perkara itu kepada SC di talian 017-360 8328/012-917 0738 /012-610 8275 atau e-mel kepada [email protected]. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast