Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi sempadan Malaysia-Thailand untuk pulang ke Myanmar berjaya ditahan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) semalam.

BUKIT KAYU HITAM – Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi sempadan Malaysia-Thailand untuk pulang ke Myanmar berjaya ditahan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kegiatan kumpulan itu disedari anggota bertugas kira-kira pukul 2 pagi ketika sedang melakukan rondaan dalam kawasan kebun getah di sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

“Ketika kejadian kesemua suspek warga Myanmar itu sedang bergerak menuju ke pagar sempadan sebelum ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga PATI yang berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun itu tidak memiliki sebarang pas perjalanan yang sah dan menggunakan lorong tikus untuk masuk ke Thailand.

“Turut dirampas wang tunai serta lima buah telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3,682.40 dalam milikan mereka,” katanya hari ini.

Tambahnya, kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Alor Setar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette