Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru menyeru pemimpin parti UMNO, Bersatu dan Pas agar bersatu mempertahankan kekuatan kuasa politik Melayu Islam dan kesejahteraan ummah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, ini lebih-lebih lagi apabila ketiga-tiga parti berkenaan sudah pun menjadi kerajaan peringkat pusat dan ia wajar diteruskan di Melaka.

“Kegagalan mewujudkan persefahaman politik hanya akan mengundang kekalahan dan memberi peluang besar kepada gabungan parti liberal yang dikuasai DAP akan menang.

“Semua pihak mesti menghalang DAP daripada menang di Melaka,” katanhya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zai, parti Melayu Islam mestilah menjadi contoh dan menjuarai perpaduan Melayu Islam dan perpaduan nasional masyarakat majmuk Keluarga Malaysia.

Malah, agenda perpaduan umat Melayu mengatasi segala-galanya demi agama, bangsa dan negara, katanya.

Tambah beliau, pemimpin mesti berjiwa besar dan mempuyai wawasan jauh ke hadapan melampaui kepentingan kelompok dan individu untuk kepentingan bangsa dan negara.

“Menonjolkan masyarakat Melayu yang bersatu akan membawa kepada perpaduan dan kesejahteraan masyarakat majmuk Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Mohd Zai berkata, hanya gabungan parti Melayu Islam yang mampu mewujudkan kedamaian dan keharmonian kaum serta toleransi agama yang baik di negara ini.

Tambahnya, Pas sebagai parti yang berteraskan Islam wajar menjadi pendamai dan penyatu kepada penyatuan politik dengan menonjolkan Islam yang damai, adil dan bermuafakat akan membawa kepada konsep Islam yang memimpin umat.

Katanya, perpecahan parti politik dan pemimpin hanya akan membawa kepada kekalahan dan hilang kuasa.

“UMMAH menyeru kepada pemimpin Islam, persatuan NGO dan pemimpin masyarakat agar terus memperkasakan agenda perpaduan ummah dalam kalangan rakyat negeri Melaka,” jelasnya. – MalaysiaGazette