KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Kedah dijemput mencipta logo dan nama khas ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ yang akan dibangunkan oleh BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI), syarikat usahasama di antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Penganjuran pertandingan mencipta logo dan nama khas ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ itu akan bermula pada 7 November hingga 21 November 2021 dan terbuka kepada seluruh rakyat Kedah.

Faris Najhan Hashim

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, pertandingan mencipta logo dan nama khas ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ berkenaan adalah salah satu inisiatif syarikat untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat Kedah untuk terlibat secara langsung dengan projek di pulau peranginan tersebut.

Menurut beliau, projek berkenaan akan memberi satu dimensi baharu kepada produk pelancongan di Langkawi dan sudah pasti akan lebih menarik sekiranya terdapat sentuhan anak tempatan di dalam penciptaan logo dan juga nama khas kepada ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ tersebut.

”Para peserta mestilah terdiri daripada anak jati yang lahir di negeri Kedah berumur 18 tahun ke atas dan mereka perlu mencipta logo dan nama dalam Bahasa Inggeris dan tidak mengandungi unsur atau elemen yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung mana-mana pihak.

”Di samping itu, para peserta perlu memastikan logo yang dicipta hendaklah tulen dan asli serta tidak diciplak daripada mana-mana logo tempatan mahupun luar negara. Setiap penyertaan hendaklah mematuhi garis panduan pertandingan yang telah ditetapkan dan boleh dirujuk di laman web www.bdb.com.my/pertandingan-reka-cipta-nama-logo,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lakaran artis Langkawi Premium Outlet.

Untuk rekod, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 40.975 ekar di Padang Matsirat yang bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di mana ia meliputi ‘Outlet Premium, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman (F&B) serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan juga masyarakat setempat.

Keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik

Melayu. Pembangunan Fasa 1 dikenali sebagai ‘Malaysia Designer Outlet’ di mana outlet-outlet fesyen tempatan, restoran-restoran masakan fusion berkonsepkan eksklusif atau
‘fine-dining’ serta ‘coffee house’.

Jelas Faris Najhan lagi, untuk pertandingan berkenaan para peserta berpeluang untuk memenangi hadiah keseluruhan iaitu wang tunai berjumlah RM10,000.

”Untuk itu, saya mengalu-alukan kepada semua rakyat negeri Kedah yang mempunyai bakat yang terpendam dan juga kreatif dalam mencipta logo untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini dan bersama-sama dengan Kumpulan BDB untuk membangunkan Langkawi supaya terus harum di persada dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast