Bank Negara Malaysia due diligence land purchase procurement Lot 41 1MDB rationalisation plan
Bank Negara Malaysia. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia yang bermesyuarat hari berpendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

Menurutnya, langkah-langkah fiskal dan monetari akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.

Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Menurutnya, ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

Inflasi juga telah meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja.

Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan global akan disokong oleh kemajuan selanjutnya liputan pemberian vaksin dan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

Dalam beberapa ekonomi utama, dasar fiskal dan monetari yang besar akan terus menyokong momentum pemulihan.

Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan.

Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan munculnya varian yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama.

Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi menjadi lemah pada suku ketiga berikutan pelaksanaan langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes Covid-19.

Bagaimanapun, selaras dengan pelonggaran sekatan, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi telah pulih daripada paras terendah pada bulan Julai.

Menjelang tahun 2022, momentum pertumbuhan dijangka semakin baik, disokong oleh pengembangan permintaan global, perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan sokongan dasar yang berterusan.

Tetapi, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan dalam negeri.

Perkara ini termasuk pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu Cobvid-19 yang membimbangkan.

Sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka berada dalam unjuran julat antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2021, setelah mencatatkan purata sebanyak 2.3% sejak awal tahun hingga kini.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata bawah 1.0% pada tahun 2021. Menjelang tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana.

Apabila kegiatan ekonomi kembali normal, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.

Namun, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

Dalam pada itu, mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2022.

Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3 petang pada hari kedua mesyuarat MPC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast