Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

MELAKA – Polis Melaka mengenal pasti 16 kawasan panas yang akan menjadi fokus kawalan keselamatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ia membabitkan lapan kawasan di daerah Melaka Tengah dan bakinya di dua daerah Alor Gajah serta Jasin.

Menurutnya, tumpuan di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 28 DUN dibuat berdasarkan penilaian jumlah penyokong parti yang ramai selain kemungkinan melibatkan pertandingan lebih dua penjuru.

“Sebanyak 16 kawasan panas ini kita akan membuat pemantauan rapi termasuk menggunakan empat unit dron bagi memastikan pengawasannya lebih jauh untuk memudahkan kita segera bertindak.

“Keseluruhannya, seramai 3,835 pegawai dan anggota polis akan bertugas termasuk 1,245 bantuan polis daripada luar Melaka.

“Ia turut membabitkan Unit Antirusuhan (PORU) Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Simpanan Persekutuan (FRU), dan Unit Tempur Ringan (LSF),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan latihan keselamatan awam, Public Order Exercise (POX) PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, bagi pasukan LSF, sebanyak 17 pasukan sudah bersedia dan ditempatkan di semua daerah untuk memantau dan segera bertindak sekiranya berlaku kejadian rusuhan.

“Saya memberi jaminan keselamatan rakyat untuk keluar mengundi pada 20 November ini dan latihan yang kita buat hari ini menunjukkan kesiapsiagaan polis terhadap sebarang kemungkinan.

“Proses kerja yang kita lakukan ini adalah daripada awal sehinggalah sekiranya keadaan tidak terkawal seperti jika pengisytiharan darurat dibuat,” katanya.- MalaysiaGazette