Nor’afiza Saim

KUALA LUMPUR – Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia menjadi tema sambutan Hari Integriti Nasional yang disambut pada 5 November setiap tahun, sejak tahun 2005 lagi.

Setiap tahun Hari Integriti Nasional disambut di seluruh negara dengan anjuran pelbagai program dan aktiviti bagi tujuan memantapkan pembudayaan nilai-nilai tadbir urus, integriti dan anti rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Nor’afiza Saim berkata, pemilihan tema pada tahun ini adalah selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam ucapan sulung yang mana menekankan aspek asas keutuhan, kebersamaan dan kesepakatan negara yang terikat dengan nilai-nilai sempurna dalam sesebuah institusi keluarga serta sifatnya yang lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Pemantapan budaya dan nilai integriti dalam kehidupan harian masyarakat amat penting dalam menuju ke arah menjadi sebuah negara maju dengan rakyatnya yang memiliki nilai moral, etika dan integriti yang tinggi,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sempena sambutan itu, IIM akan menganjurkan Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) dengan tema “Integriti Keluarga Malaysia dalam Menghadapi Endemik” pada 9 November 2021 di Institut Integriti Malaysia.

Pengisian konvensyen ini adalah forum yang akan membincangkan “Integriti Keluarga Malaysia dalam Menghadapi Endemik: Cabaran dan Ketersediaan Kita” dan empat bengkel selari bertemakan Pendidikan, Kesihatan, Ekonomi dan Sosial akan berlangsung sepanjang Konvensyen tersebut.

KIN2021 akan diakhiri dengan acara kemuncaknya iaitu pembentangan resolusi.

Nor’afiza menambah, pembetukan diri untuk menjadi seorang individu berintegriti bukan mudah.

Tetapi setiap individu yang inginkan kelangsungan kehidupan cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh integriti diri sendiri dan individu di bawah tanggungjawab masing-masing.

“Namun, cabaran yang sedang dihadapi negara ketika ini memerlukan perhatian khusus semua pihak untuk terus berusaha mengukuhkan budaya serta nilai integriti bermula dari institusi keluarga dan masyarakat,” tambah Nor’afiza.

Beliau menambah, usaha menambah baik sistem pengurusan dalaman organisasi dan usaha-usaha untuk mengadakan program dan aktiviti bertemakan integriti, etika dan tadbir urus baik bukan sekadar pada Hari Integriti Nasional.

Namun ianya adalah program dan inisiatif berterusan yang perlu dilaksanakan oleh setiap organisasi sama ada agensi kerajaan, badan korporat dan sektor swasta.

Keterlibatan semua pihak adalah amat kritikal dalam memastikan pengamalan budaya integriti dapat dijayakan dengan sempurna.

“Marilah kita bersama-sama menghayati Hari Integriti Nasional dan menjadikan nilai integriti sebagai titik permulaan dalam semua perkara yang kita lakukan sebagai seorang ahli keluarga Malaysia,” kata Nor’afiza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast