Ab. Rauf Yusof

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Melaka menyediakan tawaran baharu kepada rakyat Melaka menjelang pengumuman manifestonya minggu depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, manifesto itu merangkumi tiga fokus utama melibatkan kestabilan, kemakmuran dan muafakat.

Katanya, BN negeri akan melancarkan manifestonya selepas penamaan calon, yang pastinya memberi mandat kepada rakyat bawah pentadbiran parti itu.

“Rakyat Melaka akan mendapat banyak faedah daripada manifesto ini khususnya melibatkan kerajaan yang stabil makmur dan berkredibiliti,” katanya pada sidang media di Bukit Katil di Melaka, hari ini.

Beliau memberi jaminan BN akan menampilkan ramai muka baharu dan tokoh muda berkaliber dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Mengenai pendirian Pas Melaka untuk tidak menyokong sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Ab. Rauf berkata, parti itu perlu menjelaskan ‘menarik diri’.

Ini, katanya penting, bagi mengelak sebarang isu di kemudian hari, terutama jika salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk mencabar BN di satu-satu kawasan.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengalu-alukan pandangan Pesuruhjaya Pas Melaka itu, untuk tidak mengambil bahagian sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya nanti.

Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, jika Pas berpendirian sebagai mana dinyatakan itu, keputusan berkenaan memberi kelebihan kepada kedua-dua parti sama ada PN mahupun BN.

“Sesungguhnya kalau Pas menterjemahkan apa yang dilontarkan dalam isu pertandingan tiga penjuru ini adalah amat baik, tetapi sejauh mana (ia) dilaksanakan seharusnya diterjemahkan dalam penamaan calon nanti.

“Tidak guna Pas kata tarik diri, tapi rakan komponen PN yang lain bertanding dengan UMNO. Sebab itu, kita mahu Pas jelaskan makna penarikan diri itu,” katanya. – MalaysiaGazette