Najib Razak

KUALA LUMPUR – ”Kenapa salah Najib pulak?,” soal Datuk Seri Najib Razak.

Najib membuat kenyataan itu selepas seorang netizen membuat kenyataan bahawa pada musim pandemik ini Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tanpa segan silu ganti kereta rasmi kerajaan daripada Proton Perdana kepada Velfire.

Tegas bekas perdana menteri itu, cadangan menukar kereta menteri kepada Vellfire dibuat pada bulan Januari 2020 ketika di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambah beliau, akhirnya Vellfire digantikan sebagai kenderaan rasmi menteri pada bulan April 2021.

Pertukaran kenderaan itu dibuat semasa negara pentadbiran Perdana Menteri Kelapan, dalam keadaan darurat dan Parlimen digantung.

”Nak tanya, tanyalah pada Atok dengan Abah kau,” kata Najib lagi.

Najib turut menambah, pada bulan April 2021 itu juga Perdana Menteri Kelapan memberitahu kerajaan sudah tidak banyak duit untuk bantu rakyat selepas wang sebanyak RM600 bilion dibelanjakan.

Isu penggunaan Vellfire dibahaskan selepas Menteri Kewangan memaklumkan kos bulanan kenderaan yang digunakan oleh menteri ialah sebanyak RM5,759.35.

Kenderaan itu dimula digunakan sejak April 2021 selepas menukar daripada model Proton Perdana 2.4L.

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata demikian ketika memberi jawapan bertulis Parlimen  kepada Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang bertanya tentang pajakan Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi menteri persekutuan.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan membayar sejumlah RM1.42 juta kepada pemegang konsesi setakat September 2021. – MalaysiaGazette