Healthcare worker injecting the Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine on a secondary school student during the National Covid-19 Immunisation Programme for Adolescents (PICK-A) at the Management and Science University (MSU) in Shah Alam. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 20 SEPTEMBER 2021.
Healthcare worker injecting the Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine on a secondary school student during the National Covid-19 Immunisation Programme for Adolescents (PICK-A) at the Management and Science University (MSU) in Shah Alam. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 20 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan penjaga disaran mematuhi janji temu dos kedua vaksin Covid-19 untuk anak remaja, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Noor Azmi yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) memaklumkan sejak seminggu lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat remaja yang tidak memenuhi atau menghadiri janji temu dos kedua seperti ditetapkan.

“Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak memastikan anak remaja mereka menerima dos kedua, risiko untuk kumpulan remaja ini dijangkiti Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding mereka yang telah menerima dos lengkap.

“Situasi ini pastinya akan memberi kesan kepada pembukaan semula sekolah dan juga pembukaan semula sektor ekonomi di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ibu bapa yang terpaksa menjadualkan semula janji temu dos kedua boleh menghubungi pihak sekolah bagi mendapatkan janji temu baharu.

Katanya, ibu bapa yang tidak dapat hadir dimohon mewakilkan seorang individu dewasa bagi mengiringi anak-anak untuk menerima suntikan vaksin itu dengan mengisi Surat Perwakilan Ibu bapa atau Penjaga yang boleh didapati daripada sekolah anak masing-masing.

“Saya memahami ada dalam kalangan ibu bapa yang bimbang anak akan mendapat kesan sampingan seperti alahan. Walau bagaimanapun, ingin saya tekankan bahawa kesan sampingan yang serius adalah amat jarang berlaku dan dengan rawatan awal, remaja akan pulih sepenuhnya.

“Meskipun sektor ekonomi dan sosial telah dibuka semula, dan keadaan semasa semakin bertambah baik, ibu bapa harus sedar bahawa risiko jangkitan Covid-19 masih tinggi lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang belum melengkapkan vaksinasi mereka,” katanya.

Menurut beliau, setakat semalam, seramai 2,622,306 atau 83.3% remaja telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 2,197,961 atau 69.8% telah menerima dos kedua.

Beliau berkata negeri yang mencatatkan pencapaian dos kedua tertinggi iaitu Melaka (88.6%), Perlis (87.8%), Pulau Pinang (83.7%), Kedah (81%) dan Terengganu (80.9%). – MalaysiaGazette