KUANTAN – Dalam usaha memartabatkkan dan membentuk pemikiran banduan supaya berilmiah dan berakhlak, Jabatan Penjara Pahang sentiasa mengalu-alukan sumbangan buku daripada semua pihak untuk dijadikan bahan bacaan.
Pengarahnya, Datuk Ab. Basir Mohamad berkata, sehingga kini sebanyak 8,000 buah buku pelbagai jenis bacaan diterima oleh penyumbang dalam tempoh dua bulan.
Tambahnya, penderma buku melibatkan dari seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui program wakaf buku yang dianjurkan.
“Pihak penjara sentiasa memerlukan bahan bacaan yang berkualiti untuk mengangkat martabat, sekali gus memberi semangat kepada penghuni di sini.
“Antara bahan bacaan yang diterima berupa novel, majalah, journal, ensiklopedia dan menerima semua jenis bacaan yang bersesuaikan dengan mereka.
“Bayangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) apabila mereka dihadkan aktiviti dan hanya berada dalam sel, maka membaca adalah antara rutin pilihan penghuni,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Selain itu, sumbangan buku dalam Bahasa Inggeris juga diperlukan bagi menampung keperluan penghuni warganegara asing yang meliputi sebanyak 15%.
Menurutnya, penjara itu sentiasa mengalu-alukan sokongan daripada masyarakat untuk menyumbangkan buku untuk ditempatkan di dalam perpustakaan dalam penjara meskipun koleksi buku mencukupi.
“Ini kerana ramai banduan gemar membaca, dengan jumlah penghuni seramai 5,000 orang, jadi bahan bacaan sebanyak 8,000 boleh ditambah bagi memberi meraka pilihan pelbagai bacaan.
“Mereka yang ingin menyumbang buku boleh menghubungi Jabatan Penjara Pahang untuk penghantaran dan pertanyaan.
Dalam pada itu, pihaknya telah berusaha menggilap bakat penghuni dalam dunia penulisan menerusi pembacaan dan minat mereka.
“Kerjasama dilakukan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mengumpulkan hasil karya sajak penghuni dalam sel dan telah dicetak menjadi buku,” ujarnya. – MalaysiaGazette