Nur Leena Wong menunjukkan bahagian luar dan dalam tiram Crassostrea (Magallana) saidii.

KUALA LUMPUR – Sejenis spesies tiram, satu-satunya yang terdapat di dunia dan hanya
terdapat di muara Sungai Muar di Johor telah disahkan sebagai spesies baharu dan
dinamakan Crassostrea (Magallana) saidii.

Kerjasama penyelidikan antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Queen’s University
Belfast telah mengesahkan bahawa spesies itu tidak terdapat di kawasan lain di dunia.

Spesies itu dikenali sebagai ‘tiram putih’ di kalangan penduduk dan nelayan tempatan
kerana isinya yang berwarna putih krim dan berkualiti tinggi.

Ia lebih mendapat sambutan penggemar tiram berbanding spesies Crasssotrea belcheri (tiram kapak) yang juga boleh dijumpai di muara Sungai Muar.

Spesies tiram kapak memiliki kulit yang lebar manakala isinya berwarna kelabu, coklat.

Rupa kulit tiram Crassostrea (Magallana) saidii manakala isinya berwarna putih krim.

Penyelidik, Dr. Nur Leena Wong dari Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik
(I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, spesimen Crassostrea (Magallana) saidii yang dikenal pasti oleh nelayan tempatan itu disahkan identitinya melalui ujian DNA.

Spesies itu mendapat perhatian Dr Nur Leena apabila seorang penduduk tempatan Muar,
Md Saidi Mohamed, menghubungi UPM pada 2017 mengenai masalah populasi tiram
yang semakin berkurangan di muara Sungai Muar.

Katanya, hasil daripada usaha Md Saidi dalam memelihara warisan semulajadi itu,
pasukan UPM dapat memahami biologi dan ekologi spesies unik itu dengan lebih
mendalam.

“Walaupun spesies tiram sukar dikenalpasti melalui morfologi luaran, penyelam tiram
tempatan yang berpengalaman dapat membezakannya.

“Saya kagum dengan ketepatan penyelam tiram dalam membezakan spesies tiram.
Spesimen yang dikenal pasti oleh nelayan tempatan ini telah disahkan identitinya melalui
ujian DNA, sekali gus membuktikan kepentingan ilmu dan pengetahuan yang dimilki
warga tempatan yang membawa kepada penemuan saintifik,” katanya.

Menurutnya, kaedah unik ‘menyelam tiram’ untuk mengambil tiram di Sungai Muar telah
tercatat dalam sejarah dan jurnal Kapten British seawal tahun 1858 dan kaedah itu masih
dilakukan sehingga kini.

Memacakkan kayu bakau di tepi bot ke dasar sungai sebelum turun menyelam
ke dasar.

Penternakan tiram di dasar sungai merupakan warisan terkenal di muara Sungai Muar.

Katanya, kayu bakau sepanjang 20 kaki (6.1 meter), akan dipacakkan ke dasar sungai di
sebelah bot, dan penyelam akan turun menyelam mengikut kayu itu dan mengambil tiram
di dasar sungai menggunakan tangan.

Menurutnya, tiram putih atau tiram premium itu pernah dijadikan makanan istimewa untuk golongan diraja serta pegawai tinggi, dan kemudian pada awal 1990-an dieksport ke pasar di Singapura.

Dr. Nur Leena yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM
dan Ketua Unit Muzium dan Herbarium berkata, tiram itu dinamakan Crassostrea (Magallana) saidii sebagai mengiktiraf usaha Md Saidi mempromosikan penyelidikan dan pemuliharaan spesies tiram berkenaan.

Katanya, penyelidikan bersama oleh beliau (Dr. Nur Leena) dengan rakan penyelidik dari
Queen’s University Belfast, Dr Julia Sigwart bermula dengan pengambilan sampel pada
2017 sebelum kajian biologi kitar pembiakan pada 2018 dan 2019.

Beliau berkata, mereka mengumpul dan membandingkan data dengan koleksi data
berkaitan tiram yang terdapat di muzium di United Kingdom, dan spesies yang terdapat
di Asia, dan mendapati tiada rekod DNA yang sama dengan tiram putih di muara Sungai
Muar itu.

Katanya, mereka terkejut kerana selepas lebih 160 tahun tiram itu diketahui dan dituai
secara komersial di muara Sungai Muar, ia tidak mempunyai nama saintifik.

Justeru, mereka menghantar kertas penemuan kajian itu tahun lalu ke jurnal Marine
Biodiversity, yang berpangkalan di Jerman.

Pada 12 Oktober 2021, nama sainstifik Crassostrea (Magallana) saidii untuk tiram itu diperakukan.

Nur Leena berkata, fokus penyelidikan kini adalah kepada pembenihan tiram itu
melalui pendekatan akuakultur untuk memperbanyakkannya.

Katanya, kajian juga dilakukan untuk mengenalpasti kualiti air dan kadar kemasinan air
yang paling sesuai untuk pembiakan Crassostrea (Magallana) saidii.

Menurutnya, pada masa ini ianya hanya hidup di muara Sungai Muar dengan kemasinan
air 8 hingga 25 PPT, dan tidak boleh hidup di air laut.

“Pemuliharaan populasi kecil tiram ini amat diperlukan untuk memastikan
kelestariannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast