Sekeping kertas yang tertera Kit Ujian Kendiri Covid-19 tidak dijual berikutan kehabisan stok diletakkan sebagai makluman kepada pelanggan di Farmasi Health lane Family, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

Tuan Pengarang,

Saya terpanggil untuk memberi komen kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, baru-baru ini tentang kit ujian kendiri Covid-19 yang bakal dibenarkan penjualannya di rangkaian kedai sebaneka dan stesen minyak. Mungkin niat keputusan ini datangnya  dari perspektif memberi ‘kemudahan’  kepada masyarakat agar kit ujian kendiri ini lebih senang diperolehi.

Walaupun keputusan ini berniat menyediakan kemudahan, perkara sepenting ini tidak seharusnya diambil mudah kerana ianya juga bakal membawa kesan negatif. Memandangkan negara kita masih dibelenggu pandemik ini, pihak berkuasa tidak wajar memilih ‘kemudahan’ sekiranya ia bakal membawa kemudaratan dari segi keselamatan dan kualiti.

Apa yang saya maksudkan di sini adalah, kit ujian kendiri ini  sememangnya boleh didapati dengan mudah di pelbagai  farmasi di setiap pelusuk bandar dan kawasan perumahan. Ini bermakna isu ‘kemudahan’ sudahpun diatasi.

Apabila pengguna membeli kit ujian kendiri daripada farmasi, mereka boleh yakin bahawa kit ujian ini telah diluluskan dan diperakui oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Malaysian Device Authority – MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (MDA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tetapi apabila ia penjualannya dibuka kepad pelbagai jenis ‘outlet’, saya percaya bahawa akan wujudnya kit ujian tiruan yang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa.

Sebagai analogi, pada masa pandemik ini baru bermula, permintaan untuk pelitup muka meningkat secara drastik. Disebabkan permintaan naik secara mendadak, pihak-pihak yang mahu meraih keuntungan telah mula menyediakan dan menjual  pelbagai jenis pelitup muka.

Dari sinilah timbulnya beberapa kontroversi termasuk isu pelitup muka yang tidak memenuhi piawaian perubatan yang ditetapkan, di mana banyak yang  tidak mampu memenuhi piawai tertentu iaitu,  perlindungan virus Covid-19.

Malah terdapat laporan di mana pelitup muka dihasilkan dengan menggunakan pelitup muka yang dikitar semula! Dalam kes kit ujian kendiri pula, sekiranya ia dibenarkan dijual secara meleluasa, saya yakin isu kit tiruan atau yang tidak diluluskan juga akan timbul. Malah sudah terdapat aduan dalam media sosial di mana kit ujian kendiri yang dibeli atas talian tidak memberi keputusan yang tepat dan memuaskan.

Selagi Covid-19 masih wujud, tanpa kawalan kualiti yang betul, sudah pasti produk ini juga  akan terjebak di ‘pasaran gelap’. Perkara yang terlalu penting seperti  kit ujian kendiri ini  tidak wajar diambil mudah dan bakal membuka ruang untuk menjadi subjek penipuan yang membawa  risiko tinggi kepada pengguna.

Sebagai bapa kepada dua orang anak, saya lebih yakin jika saya membeli kit ujian kendiri daripada farmasi atau klinik, kerana sudah pasti  kit itu akan disahkan dan diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (MDA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Buat masa kini,  kit ujian kendiri ini cuma dapat dibeli di farmasi dan saya berpendapat ini harus dikekalkan untuk menjamin kredibiliti serta memastikan legitimasi kit berkenaan. Baru-baru ini saya terbaca negara seperti United Kingdom dan India mengumumkan kit ujian kendiri hanya boleh dijual di farmasi dan pusat-pusat kesihatan yang diluluskan. Memandangkan perkara ini, saya menyeru kepada pihak Kerajaan agar tidak  membuat keputusan secara melulu sekadar untuk populariti tanpa mempertimbangkan risiko keselamatan dan reperkusi negatif yang bakal timbul.

Saya juga hairan mengapa pengumuman untuk meluaskan penjualan kit ujian kendiri ke pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan bukannya Kementerian Kesihatan Malaysia. Bukankah perkara berkaitan pandemik sepatutnya diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia? Lebih-lebih lagi apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan pada bulan lalu bahawa farmasi adalah tempat terbaik untuk membeli kit ujian kendiri Covid-19. Percanggahan antara kedua Kementerian ini mencerminkan isu jurang komunikasi dan persefahaman antara kedua-dua Kementerian yang bakal menimbulkan pemasalan kepada  rakyat.

 

Adam Malek

Kuala Lumpur