KUALA LUMPUR – Kesemua 28 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah mereka yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Kriteria calon-calon tersebut ialah boleh menang, boleh diterima dan disukai (winnable, acceptable and likeable – WALI), kata Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, BN sebulat suara memutuskan memilih 86 peratus yang menjadi calon adalah muka baharu dengan 78 peratus daripadanya berusia 50 tahun ke bawah manakala 82 peratus adalah berkelulusan akademik institusi pengajian tinggi.
Dalam kenyataannya, Ahmad Zahir turut mengucap ribuan terima kasih kepada ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang digugurkan sudah memberi khidmat cemerlang kepada parti selama dua dan tiga penggal atau lebih.
Beliau berharap mereka yang digugurkan dapat membantu calon-calon baharu.
”Inilah kesetiaan yang kita perlukan daripada semua. Pastikanlah parti beroleh kejayaan dan kembali menerajui negeri ini,” ujar beliau.
Beliau turut berkata, mereka yang tidak dicalonkan lagi akan dipertimbangkan pada masa depan atau bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum nanti.
”Apa yang lebih utama ialah memenangkan parti yang menaungi kita selama ini.
”ADUN adalah milik rakyat di kawasan masing-masing. Parti sudah membuat penilaian terperinci sebelum mereka dipilih. Bersama kita menang di Melaka!,” tambah beliau. – MalaysiaGazette