Adham Baba menyerahkan bantuan peralatan inovasi R&D tempatan untuk pemprosesan kelapa dan santan kepada Mohd Alif (kanan) di Pasar Awam Bandar Tenggara di sini pagi tadi.
KOTA TONGGI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sasar 1,000 perintis inovasi akan mendapat manfaat pada tahun hadapan di bawah Program Pembangunan Inovasi Sosial oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seramai 5,000 perintis inovasi telah mendapat manfaat dari dana pembangunan produk tempatan dan pembangunan kapasiti yang bernilai RM15 juta sejak ditubuhkan pada 2008 hingga kini
Ia membabitkan program Mainstreaming Grassroots Innovation (MaGRIS), Malaysia Social Innovation (MySI) dan High-Impact Programme 6 (HIP6).
“YIM merupakan program di bawah MOSTI melibatkan inovasi sosial oleh mana-mana pereka akar umbi dari kalangan B40 yang ingin melaksanakan inovasi mereka.
“Mereka ini perlu mengemukakan dokumen untuk memohon dan penilaian akan dibuat mengikut keperluan semasa.
“MOSTI sentiasa komited memperkasa inovasi sosial menerusi teknologi inovasi tempatan. Dengan program seumpama ini ia menggalakkan perintis inovasi tempatan mereka cipta teknologi dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi luar negara.
“Inovasi tempatan ini dapat memartabatkan ekonomi B40 dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat, selain menjimatkan masa dan tenaga,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja di Pasar Awam Bandar Tenggara, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Adham memaklumkan YIM akan membuka dua lagi fasiliti ruang reka di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor pada akhir bulan ini dan Bera, Pahang pada akhir tahun ini.
Sebelum ini ia telah dibuka di Kuala Terengganu dan Paroi Negeri Sembilan yang telah beroperasi pada April lalu.
“Reka cipta adalah satu keadaan di mana YIM mengemukakan satu kaedah bagaimana pengalaman tidak ada direkodkan oleh dimana-mana sekolah atau universiti, tetapi kita kaitkan dengan sains dan teknologi.
“Mereka di luar bandar atau sektor awam yang mempunyai inovasi atau perkara yang boleh dikaitkan dengan sains dan teknologi boleh datang ke ruang reka dan sekiranya ada nilai komersial kita akan bangunkan produk mereka,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast