Ayob Khan (tengah) pada Ops Sarang Khas 1.0 di Projek Perumahan Rakyat dekat Larkin, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis akan terus membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah termasuk memberi tumpuan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Johor secara konsisten.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menahan 46 individu yang disyaki telibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Sarang Khas 1.0 yang dilancarkan harui ini setakat jam 4 petang tadi.

Katanya, dalam operasi itu, pasangan suami isteri berusia 30-an serta seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun turut ditahan.

“Mereka yang ditangkap tadi berusia paling muda 30 tahun paling tua 70 tahun, dalam usia itu masih menagih dadah.

“Kita jangkakan akan ada lagi tangkapan akan dilakukan dan bilangannya pasti meningkat pada hari ini,” katanya kepada pemberita sempena Oos Sarang Khas 1.0 PPR di Larkin, dekat sini, hari ini.

Operasi itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bersama JSJN Ibu Pejabat Polis  Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Tambah beliau, operasi yang dilakukan di Larkin dan Stulang itu melibatkan 23 pegawai kanan dan 106 pegawai rendah polis itu bertujuan membasmi lokasi penagihan dadah di PPR.

Menurut Ayob Khan, Ops Sarang Khas sebelum ini dilakukan setiap daerah yang mana terdapat tangkapan dilakukan setiap hari.

“Kalau kita lihat di Johor ini ada lebih kurang 13 PPR, lapan daerah yang melibatkam aktiviti pengangihan dan pengedaran dadah,” katanya.

Kesemua mereka yang ditahan akan dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast