KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Faizal Abdul Rahman yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Dalam hantaran di laman Facebook, bekas Perdana Menteri berkata, Allahyarham mula berkhidmat dengannya sebagai Pegawai Khas ketika beliau menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2008 dan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Khabar dukacita pemergian  Allahyarham ini sesungguhnya amat mengejutkan saya dan seluruh ahli keluarga,” katanya.

Allahyarham juga berkhidmat sebagai Pegawai Khas yang mengendalikan hal ehwal antarabangsa ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada Mac 2020.

Menurut beliau, sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Allahyarham merupakan seorang pegawai yang berdedikasi, bertanggungjawab dan amanah.

Katanya, amalan itu selari dengan ikrar beliau sebagai seorang penjawat awam untuk sentiasa memelihara kepentingan negara.

“Sememangnya, banyak kenangan manis bersama Allahyarham sepanjang beliau berkhidmat dengan saya.

“Saya doakan agar roh Allahyarham Datuk Ahmad Faizal dicucuri rahmat dan darjatnya diangkat di sisi Allah SWT.

Saya turut mendoakan agar ahli keluarga Allahyarham terutamanya tiga anaknya iaitu Lyana Kamilia, Syamil Imran dan Adeeb Imran diberi ketabahan dan kekuatan dalam mengharungi detik yang menyedihkan ini.

“Marilah kita sama-sama sedekahkan  bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan para solihin dan segala amalan Allahyarham diterima Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast