Hazani Ghazali (tengah) bersama Abdul Majid (kiri) dan Razali pada sidang media di IPK hari ini.

MELAKA – Polis Melaka akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mewartakan zon larangan penggunaan dron untuk berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata, beliau yakin, permohonan mahkamah itu boleh dilaksanakan menjelang hari penamaan calon Isnin ini.

Menurutnya, penggunaan dron sebenarnya dibolehkan dengan syarat namun hasil perbincangan dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini, terdapat cadangan untuk melarang penggunaannya sepanjang PRN.

“Kami bincang juga tadi mungkin sepanjang tempoh PRN ini, kita akan mohon dengan pihak mahkamah untuk mewartakan zon larangan menerbangkan dron di Melaka.

“InsyaAllah sempat, Isnin ini jika kita dah dapat sahaja arahan mahkamah untuk tidak benarkan dron diterbangkan, memang tidak bolehlah,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja Op PRN Melaka di IPK Bukit Beruang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalannya Datuk Razali Abu Samah.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, cadangan mewartakan larangan itu dibuat selepas melihat daripada pelbagai sudut kesannya terhadap kententeraman awam semasa PRN Melaka.

“Dron ini boleh jadi satu ancaman, boleh wujudkan provokasi sebabnya dron boleh bawa senjata, tak kiralah gas beracun ke atau cecair yang boleh menyebabkan melecur.

“Ia juga boleh buat ‘crash landing (terhempas)’ terhadap kumpulan-kumpulan tertentu yang mungkin disebabkan tak puas hati atau sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat peraturan-peraturan itu yang membolehkan dron diterbangkan termasuk mendapatkan permit daripada pihak berkuasa termasuk Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Jika masih ada pihak yang menerbangkan dron secara haram, pihak polis ada kepakaran dan cara untuk menurunkan dron berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette