PUTRAJAYA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan Islam iaitu Pertubuhan Islah Movement buat julung kalinya menganjurkan Program i-Huffaz yang merupakan platform menjalankan sistem pengajian tahfiz secara atas talian.
Ia adalah program tahfiz atas talian pertama di Malaysia dengan gabungan beberapa elemen penting seperti akademik, kemahiran hidup dan kurikulum.
Pengarah Urusan Utama, Akademi Tahfiz Al Islah merangkap Ketua Mudir i-Huffaz, Ustaz Saiful Islam Mohamed Naser berkata, pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu telah memberi kesan kepada banyak sektor termasuk penutupan pusat tahfiz di seluruh negara kerana tidak mampu menampung kos operasi.
Menambahkan lagi beban jelas beliau, kebanyakan pihak pengurusan tahfiz tidak mempunyai dana yang tetap dan hanya bergantung kepada sumbangan dan yuran pelajar.
“Akibat Covid-19, banyak pihak terkesan dan sebagai orang muslim, kita wajib pertahankan institusi agama kita sehingga ke titisan darah terakhir.
“Demi membela nasib anak-anak tahfiz yang masih memerlukan pengajaran dan ilmu, Akademi Tahfiz Al Islah tampil menjadi penggerak utama sebagai ‘penyelamat’ dengan melancarkan pengajian tahfiz atas talian iaitu i- Huffaz sebagai alternatif agar pelajar tahfiz dapat menyambung pengajian mereka.
“Bagi menyelamatkan penutupan lebih banyak tahfiz, kami dari Akademi Tahfiz Al Islah melancarkan i-Huffaz, buku Makhraj Huruf dan projek ekonomi di Cyberjaya serta Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Program telah dilancarkan di lima lokasi berbeza iaitu di Dengkil, Putrajaya, Cyberjaya, Bukit Jalil dan Bandar Tasik Senangin baru-baru ini.
Turut dilancarkan, pelancaran buku Makhraj Huruf bersama Rangkaian Islah Movement.
Mengulas lanjut, Saiful Islam berkata, jika sebelum ini pihaknya mengadakan program tahfiz secara fizikal namun disebabkan beberapa kekangan, mereka terpaksa beralih kepada pengajian dalam talian dan ia mula mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Pelancaran i-Huffaz juga adalah untuk mengurangkan bebanan pusat tahfiz yang ditanggung selama ini. Alhamdulillah, melalui program-program sebelum ini misalnya i- Korban, kami dapat memperoleh keuntungan.
“Jadi apabila kami dapat berita penutupan pusat tahfiz dan banyak yang bakal ditutup disebabkan terbeban dengan hutang akibat pandemik Covic-19, kami panggil mereka untuk bernaung di bawah kami dan akan menanggung perbelanjaan serta menyelesaikan segala hutang mereka,” katanya.
Jelas Saiful Islam lagi, program i-Huffaz itu mampu meringankan beban mereka kerana pelaksanaannya tanpa sempadan di mana rata-rata masyarakat memiliki telefon pintar.
Katanya, walaupun berada di rumah atau tidak dapat meneruskan pengajaran di pusat tahfiz, mereka masih boleh ikuti program tahfiz atas talian iaitu i-Huffaz.
Saiful Islam juga berharap buku Makhraj Huruf boleh membantu semua pelajar dalam menguasai pembelajaran al-Quran.
Ujarnya, sebanyak 10,000 naskhah buku Makhraj Huruf dicetak bagi kegunaan pelajar dan mereka yang berminat.
“Di pusat tahfiz, mereka membaca secara hafazan, namun kadang-kadang banyak hukum-hukum (dalam bacaan) yang tak diteliti.
“Jadi inilah peluang untuk mereka meneliti semula bagaimana cara sebutan, bacaan dan sebagainya,” katanya.
Menjelaskan kualiti belajar al-Quran secara atas talian melalui i-Huffaz, Saiful Islam berkata, apabila berlaku situasi yang mudarat dan berbanding dengan satu mudarat yang lain, umat Islam perlu memilih mudarat yang kurang.
“Kami faham impak pembelajaran atas talian tidak sama dengan hasilnya belajar secara fizikal, tetapi jika kita tidak buat langsung, anak-anak akan terus hanyut dengan permainan atau hiburan lain yang tidak berfaedah.
“Ini bersesuaian dengan slogan i-Huffaz kami, ‘merentas alam maya, membawa mukjizat bersama’. Mukjizat itu adalah al-Quran.
“Selepas ini apabila keadaan mengizinkan, kami akan gabungkan program tahfiz atas talian dan fizikal tanpa meninggalkan salah satu dan ini boleh memberikan impak yang lebih besar,” jelasnya.
Lebih menarik, mereka yang membeli buku Makhraj Huruf berharga RM99 dipakejkan sekali dengan pengajaran al- Quran secara atas talian bersama pengasasnya, Ustaz Jamal Al Qurtubi.
Sementara itu, Pertubuhan Islah Movement kini meluaskan lagi rangkaian perniagaan mereka dengan melancarkan beberapa projek seperti MyQuran Al-Firas, Toward Korea Japan, i-Mart, SPM Fastrack Huffaz dan Revomarketing.
Projek lain bagi merancakkan ekonomi NGO itu adalah MyMarTahfeez dan MyQuran yang terletak di Bukit Jalil.
MyMarTahfeez adalah satu modul bisnes peruncitan yang diwujudkan untuk menjana ekonomi bagi pusat tahfiz di bawah kendalian Akademi Tahfiz Al-Islah (AKTA).
Daie Azrin pula dilantik selaku Ikon Projek Ekonomi Huffaz Islah Movement.
Pada masa sama, Pertubuhan Islah Movement juga membuka rangkaian perubatan menggabungkan perubatan moden dan homeopati yang dinamakan Al-Khayr.
Keunikan dan keistimewaan Islah movement juga menyediakan latihan kemahiran seperti menggunting rambut khusus kepada pelajar tahfiz yang bukan sahaja mampu menguasai ilmu al-Quran akan tetapi bakal menguasai ilmu duniawi juga.
Orang ramai yang mahu medapatkan maklumat lanjut tentang i-Huffaz dan buku Makhraj Huruf, boleh layari fanpage Facebook dan Instagram : IHuffaz. – MalaysiaGazette