Securities Commission Malaysia SC Investment banker Charles Chua Yi Fuan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan Minggu Kewangan Mampan dari 8 hingga 12 November 2021 di Ekspo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Acara utama semasa Minggu Kewangan Mampan ini ialah persidangan maya yang diadakan dari 8 hingga 10 November 2021.

Persidangan maya tiga hari itu dijangka akan menarik peserta dari seluruh dunia yang meliputi pengawal selia, pengantara sektor kewangan, pengurus dana dan pelabur pasaran swasta.

Bertemakan “Membolehkan Pembangunan Mampan melalui Kewangan Islam”, persidangan itu memberi peluang untuk mengetengahkan peranan kewangan Islam sebagai pemacu untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan juga, kedudukan Malaysia sebagai penggerak awal dalam menyelaraskan pembangunan mampan dengan kewangan Islam.

Program ini akan akan menampilkan temu bual ucap utama bersama Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang akan membicarakan agenda kemampanan Malaysia.

Expo Dubai 2020, juga dikenali sebagai ‘Pameran Hebat’, merupakan Ekspo Dunia pertama yang diadakan di rantau MEASA (Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan).

Ia merupakan ekspo global yang paling dipelbagai sehingga kini, dengan penyertaan 192 negara bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

“Kewangan Islam menyediakan khidmat kepada populasi yang lebih meluas secara sama rata dan tidak lagi dianggap khusus kepada orang Islam sahaja. Di peringkat global, industri kewangan Islam dijangka mencapai saiz AS$3.69 trilion menjelang 2024, meningkat daripada AS$2.88 trilion pada 2019, berikutan minat yang kukuh secara berterusan sebagai kaedah pengumpulan dana dan pelaburan.

”Malaysia dikenali ramai kerana berada di kedudukan hadapan dalam kewangan Islam, dengan pencapaian yang membanggakan, disokong oleh ekosistem yang kondusif, rangka kerja kawal selia yang berkesan dan pembangunan modal insan yang kukuh,” menurut Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.

Membuka jalan ke arah pemulihan, kewangan sosial Islam dijangka memainkan peranan penting dalam memudahcarakan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Antara tajuk perbincangan yang akan dirangkumi dalam Minggu Kewangan Mampan ini termasuk:
 Bagaimana Malaysia membangunkan pasaran ekuiti yang menekankan faktor kemampanan
 Inisiatif kawal selia dalam memacu kemampanan melalui sektor perbankan Malaysia
 Peraturan dan inisiatif yang inovatif untuk memacu pertumbuhan dalam kewangan mampan
 Inovasi dalam pengurusan aset sebagai pemacu pertumbuhan SRI

Penceramah lain di persidangan maya itu nanti termasuk Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Fraziali Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Abu Dhabi Global Market Authority Mark Curtis, dan Ketua Pegawai Eksekutif Climate Bonds Initiative Sean Kidney.

Selain itu, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan pembangunan perniagaan akan dianjurkan untuk mengetengahkan peserta pasaran swasta Malaysia dengan kepakaran dalam pelaburan mampan.

Orang ramai yang berminat untuk menghadiri persidangan maya Minggu Kewangan Mampan boleh mendaftar di mysustainablefinanceweek.com. – MalaysiaGazette