Shah Headan Ayoob meninjau kawasan perumahan sekitar Kuala Sungai Pinang yang terjejas akibat dinaiki air hampir satu meter di Balik Pulau, Pulau Pinang awal pagi ini.

BALIK PULAU – Projek tambakan laut Pulau Pinang dipercayai punca kekerapan air pasang masuk ke kawasan perumahan di sekitar Kuala Sungai Pinang.

Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah mendakwa projek tambakan laut yang dilakukan di George Town, Strait Quay serta Queensbay di sini menyebabkan keluasan laut semakin kecil sekali gus gagal menampung kapasiti sekiranya air pasang.

Shah Headan Ayoob.

“Kita memang tiada ada data secara teknikal tetapi kita boleh lihat apabila kawasan laut di kawasan tertentu ditambak tinggi, limpahan air datang ke sini sekali gus menyebabkan kawasan perumahan ini kerap dinaiki air.

“Dulu tujuh atau lapan tahun sekali baru air naik di sini walaupun berlaku fenomena air pasang tapi sekarang ini tiga tahun pun tak sampai mesti air naik.

“Kejadian ini menyusahkan penduduk di sini kerana bukan sahaja mengalami kerugian akibat perkakasan elektrik rosak malah pendapatan juga terjejas berikutan tidak boleh pergi kerja,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Shah Headan Ayoob meninjau kawasan perumahan sekitar Kuala Sungai Pinang yang terjejas akibat dinaiki air hampir satu meter.

Kira-kira 130 rumah terjejas akibat kejadian tersebut namun tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.

Mengulas lanjut Shah Headan Ayoob berkata, selain faktor tambakan laut, kegagalan selenggara sungai berhampiran kawasan perumahan itu turut menjadi punca air masuk ke kediaman penduduk.

“Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku kerana mereka menerima cukai pintu, cukai tanah sepatutnya selenggara sungai serta sistem perparitan di kawasan itu agar penduduk tidak dibelenggu masalah air masuk rumah setiap kali fenomena air pasang,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

130 rumah terjejas dinaiki air akibat fenomena air pasang