Operasi pencarian Mohd Hafiz Izzan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam sungai di Yan, Kedah ditamatkan selepas mayatnya ditemui pagi tadi.

YAN – Mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dekat Kampung Perupok di sini temui hari ini.

Mayat Mohd Hafiz Izzan Awari, 6, ditemui penduduk kampung yang terlibat dalam operasi pencariannya pada jam 10.05 pagi tadi.

Mohd Hafiz Izzan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat mangsa ditemui di Kampung Setar iaitu kira-kira dua kilometer dia dilaporkan terjatuh.

Jelas beliau, mangsa dilaporkan terjatuh ketika sedang bermain bersama kakaknya dan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 6.45 petang semalam.

“Berdasarkan siasatan mangsa disedari hilang oleh bapanya apabila melihat basikal mangsa ditinggalkan di tepi jambatan sebelum memulakan pencarian.

“Mereka menghubungi pihak berkuasa apabila pencarian gagal menemui mangsa. Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan dengan bantuan pihak bomba Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

“Operasi pencarian ditamatkan apabila mayat mangsa ditemui pagi tadi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Shahnaz, mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk pengecaman dan bedah siasat. – MalaysiaGazette