Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Kritikan empat pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan baru-baru ini dianggap sangat melucukan.

Ini kerana, kritikan yang dibuat kononnya kerajaan mengkesampingkan kaum Cina dan kaum India menerusi peruntukan hanya RM345 juta sebagai bantuan khusus, tidak diteliti dengan betul oleh pemimpin DAP terbabit, kata Penganalisis Politik, Prof Dr Kamarul Zaman Yusof.

Beliau berkata, tiada rujukan yang dibuat oleh Lim Guan Eng, Dr P Ramasamy, Wong Chen dan Dr Muhammed Abdul Khalid sebelum mereka membuat kenyataan secara terbuka.

“Memang betul bantuan khusus kepada kaum Cina dalam Bajet 2022 ialah RM200 juta iaitu untuk melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan PKS.

“Memang betul juga bantuan khusus kepada kaum India dalam Bajet 2022 ialah RM145 juta iaitu untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN.

“Begitupun, sebelum menghentam peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan kaum India ini sebagai terlalu kecil, perlulah diteliti balik berapakah pula peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India yang terkandung di dalam Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng sewaktu PH memerintah dahulu.

“Tidakkah peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India yang terkandung di dalam Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng sewaktu PH memerintah dahulu hanyalah sekadar RM305 juta sahaja meliputi RM185 juta bantuan khusus kepada kaum Cina dan RM120 juta bantuan khusus kepada kaum India sahaja?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Kamarul Zaman menggesa agar pemimpin DAP terbabit merujuk semula kepada pembentangan Guan Eng mengenai bantuan khusus kepada kaum Cina ketika beliau menjadi Menteri Kewangan ketika pentadbiran Pakatan Harapan dahulu.

Jelasnya, peruntukan yang diumum oleh Guan Eng ketika itu adalah lebih kecil iaitu sekitar RM305 juta sahaja meliputi RM185 juta bantuan khusus kepada kaum Cina dan RM120 juta bantuan khusus kepada kaum India.

“Mana lebih besar jumlah peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan kaum India yang diberikan oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul dalam Bajet 2022 berbanding jumlah peruntukan bantuan khusus RM305 juta kepada kaum Cina dan kaum India yang diberikan oleh Lim Guan Eng dalam Bajet 2020?

“Jika Guan Eng, Dr P Ramasamy, Wong Chen dan Dr Muhammed Abdul Khalid berpendapat bahawa peruntukan bantuan khusus RM345 juta kepada kaum Cina dan kaum India yang diberikan oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul dalam Bajet 2022 adalah terlalu kecil, mengapakah sewaktu PH memerintah dahulu mereka sendiri tidak mengusahakan supaya peruntukan bantuan khusus kepada kaum Cina dan kaum India dibesarkan?” soal beliau.

Justeru, beliau meminta agar keempat-empat pemimpin DAP terbabit agar mencermin diri sendiri dan tidak meludah ke langit yang menyebabkan ia jatuh dan terkena muka sendiri. – MalaysiaGazette