Presiden Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia, Zulkifli Wahijan bersama Duta Muslim Care Malaysia, Heliza Helmi (kiri) serta selebriti yang lain bergambar pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan di Hotel Tamu Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Muslim Care Malaysia (MCM) yakin mencapai sasaran kutipan sebanyak RM2 juta menerusi Tabung Kemanusiaan Afghanistan sepanjang tempoh sebulan ini.

Presiden MCM,  Zulkifli Wahijan berkata, ketika ini, pihaknya telah berjaya mengutip sumbangan RM1 juta bagi fasa pertama tabung kemanusiaan itu.

Jelas beliau, pihak terpanggil membantu Afghanistan susulan krisis peperangan, kemarau dan keadaan politik negara itu tidak menentu sejak Taliban mengambil alih kuasa yang menjadi antara faktor majoriti rakyat di negara itu hidup di bawah garis kemiskinan.

“Keadaan diburukkan lagi apabila bantuan kemanusiaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sukar disalurkan kepada 18 juta rakyat negara yang masih bergantung kepada bantuan luar.

“Selama 40 tahun Afghanistan menghadapi krisis peperangan yang panjang mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, kecederaan, kehilangan jiwa, kehilangan pekerjaan, terputus bekalan makanan dan sebagainya,” katanya.

Presiden Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia, Zulkifli Wahijan berucap pada Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan di Hotel Tamu Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2021.

Beliau berkata demikian  pelancaran Kempen Care4Agfghan bersama artis dan pendakwah di Tamu hotel & Suites di sini hari ini.

Antara Ikon Muslim Care yang hadir adalah penyanyi, Heliza Helmi dan Hafiz Hamidon.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, keadaan kini menjadi tidak menentu sejak ibu negeri Afghanistan, Kabul, diambil alih Taliban pada 15 Ogos lalu diikuti pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara bergolak itu.

Menurutnya, kurangnya pendedahan media antarabangsa menyebabkan masyarakat dunia tidak mendapat maklumat sebenar berhubung penderitaan dialami penduduk termasuk jutaan kanak-kanak di Afghanistan.

Susulan itu, katanya Muslim Care Malaysia Society mula menjalankan kempen kesedaran terhadap isu Afghanistan dengan mengadakan sesi webinar mengenai keadaan terkini negara itu.

“Malah kami turut melancarkan kutipan dana bantuan kemanusiaan khusus untuk rakyat Afghanistan melalui media sosial dan portal berita tempatan.

“Pihak kami menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM2 juta yang akan diagihkan dalam bentuk bantuan makanan dan keperluan asas kepada rakyat di negara itu yang terjejas teruk di setiap wilayah.

“Sasaran kami, bantuan kecemasan ini mampu diterima oleh mangsa peperangan, memenuhi keperluan mendesak golongan wanita dan kanak-kanak selain meredakan emosi penduduk yang terjejas.

Sesi fotografi bersama duta Muslim Care Malaysia, Heliza Helmi selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan di Hotel Tamu Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2021.

“Syukur, setakat semalam, rakyat Malaysia memperlihatkan rasa prihatin apabila sebanyak RM1 juta berjaya dikumpulkan dalam tempoh singkat,” katanya.

Zulkifli berkata, misi kemanusiaan kali ini memfokuskan bantuan berbentuk keperluan mendesak bagi membolehkan penduduk Afghanistan menghadapi musim sejuk yang akan tiba.

“Antaranya bantuan air bersih, pakaian, tempat perlindungan, bekalan makanan, keperluan kanak-kanak seperti susu formula, tepung gandum, lampin pakai buang dan selimut adalah sangat diperlukan,” katanya.

Muslim Care Malaysia sebelum ini turut pernah membantu mangsa bencana dan perang di Syria, Indonesia, Pakistan, Iran, Iraq, Myanmar, Kemboja selain aktif membantu umat Islam Islam di Palestin sejak tahun 2009 .

Orang ramai yang mahu membantu Tabung Kemanusiaan Afghanistan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai turut boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 016-997 8323 atau Exco Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar ditalian 013-488 6447. – MalaysiaGazette

Sesi fotografi bersama selebriti, Hafiz Hamidun selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Afghanistan di Hotel Tamu Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2021.