KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal kembali bergema apabila menjadi gelanggang bagi aksi final Piala Malaysia musim ini selepas hampir dua tahun sunyi tanpa pertandingan besar.

Aksi tersebut akan berlangsung pada 30 November ini.

Perkara itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021 yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan, semalam.

“Semua pihak diberikan taklimat secara jelas dan terperinci mengenai pengurusan perlawanan akhir itu termasuk daripada aspek operasi dan teknikal, promosi dan pemasaran, penyiaran, media, pegawai perlawanan, keselamatan, pengangkutan dan penjualan tiket secara dalam talian pada final yang bakal berlangsung pada 30 November 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata MFL dalam kenyataan di Facebook mereka.

Mesyuarat pertama itu dihadiri wakil agensi yang terbabit dalam penganjuran sempena 100 tahun Piala Malaysia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline International Sdn Bhd, Datuk Zairil Ayu Ibrahim; Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Ahmad; Wakil Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Nadzri Abd Wahab dan Ketua Jabatan Sains Sukan FAM, S Sivanesvaran.

Mengikut rekod, kali terakhir skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe beraksi di Stadium Nasional adalah pada 19 November 2019 ketika menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelima Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum aksi berikutnya ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Apa yang lebih mengujakan apabila aksi final Piala Malaysia kali ini bakal diserikan dengan kehadiran penonton walaupun tidak seramai mengikut kapasiti stadium. – MalaysiaGazette