Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima Resolusi Integriti daripada wakil peserta, Meor Ibrahim Othman (tengah) pada Majlis Penutup Konvenyen Integriti Nasional 2021 bertemakan “Integriti Keluarga Malaysia Dalam Menghadapi Endemik” sempena Sambutan Hari Integriti Nasional di Menara Integriti, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Integriti bukan hanya merujuk kepada pembanterasan rasuah semata-mata tetapi juga kepada amalan nilai-nilai murni secara menyeluruh dan berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, hanya masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni mampu mewujudkan komuniti bebas rasuah dan bebas daripada perbuatan melanggar etika.

Beliau berkata, secara analogi mudah, ia merujuk kepada sebuah keluarga yang mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti yang tinggi.

Jelasnya, ini kerana kebarangkalian untuk ahli-ahli keluarga tersebut terlibat dengan isu-isu yang berkaitan dengan pelanggaran integriti, rasuah atau sebarang kes jenayah pada masa hadapan amat rendah atau pun sangat tipis.

“Penerapan dan pembudayaan nilai-nilai integriti dalam keluarga tersebut perlulah disokong dan didukung oleh semua ahli keluarga terbabit. Manakala, ibu bapa pula hendaklah menjadi contoh teladan yang terbaik.

“Dalam konteks Keluarga Malaysia yang kini sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi yang mencabar serta fasa endemik Covid-19, pengamalan nilai-nilai murni atau integriti secara menyeluruh oleh semua Keluarga Malaysia amatlah penting,” katanya dalam ucapan majlis penutup Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) bertemakan Integriti Keluarga Malaysia dalam Menghadapi Endemik anjuran Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar membaca Resolusi Integriti yang diterimanya pada Majlis Penutup Konvenyen Integriti Nasional 2021 bertemakan “Integriti Keluarga Malaysia Dalam Menghadapi Endemik” sempena Sambutan Hari Integriti Nasional di Menara Integriti, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2021.

Ismail Sabri menambah, kesemua matlamat dan perancangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) hanya boleh dicapai jika semua Keluarga Malaysia bersama-sama menjayakannya dengan menjadikan agenda integriti sebagai teras utama.

Menurut beliau, ini kerana tanpa integriti, masyarakat tidak melakukan sesuatu dengan betul.

“Tanpa integriti, kita tidak akan jujur. Tanpa integriti, pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan program atau projek tertentu dalam RMK-12 akan bertindak sambil lewa, mempunyai kepentingan peribadi, salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan akibatnya akan berlaku ketirisan yang akhirnya mendatangkan kerugian kepada kita, Keluarga Malaysia.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak yang berkaitan untuk bersama-sama menjayakan RMK-12 ini dengan meletakkan integriti sebagai asas dan mengelakkan sebarang konflik berkepentingan peribadi demi keluarga kita, Keluarga Malaysia,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bercakap pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvenyen Integriti Nasional 2021 bertemakan “Integriti Keluarga Malaysia Dalam Menghadapi Endemik” sempena Sambutan Hari Integriti Nasional di Menara Integriti, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, berdasarkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara dalam membanteras rasuah, usaha penyemaian nilai- nilai murni dan integriti juga patut diperluas dan diperkukuhkan dengan menjadikan integriti sebagai agenda Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, rakyat boleh melihat negara-negara yang mempunyai ranking atau kedudukan teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International.

Mengambil New Zealand, Denmark dan Finland sebagai contoh, kejayaan negara itu hari ini dalam memerangi jenayah rasuah adalah berpunca daripada penyemaian nilai-nilai murni dan integriti dalam kalangan rakyat mereka bermula dari rumah sebagai instituti pendidikan pertama.

“Usaha mereka ini jika dikaji mengambil masa yang lama dan gerakan ini perlulah satu komitmen dan gerakan yang menyeluruh.

“Dalam RMK-12 sasaran CPI Malaysia pada tahun 2025 adalah berada ditangga dalam kelompok 30 negara terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berjanji kerajaan akan meneliti dan mengambil tindakan terhadap butiran Resolusi KIN2021 agar dapat diperhalusi untuk dipertimbangkan sebagai polisi dan dasar kerajaan dalam memartabatkan pemerkasaan governans, integriti dan antirasuah. – MalaysiaGazette