Logo Petronas.

 

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (ExxonMobil) untuk bersama-sama meneroka peluang dalam teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) bagi membantu menyahkarboni industri huluan dan menyediakan penyelesaian penyimpanan karbon dioksida untuk rantau ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Petronas berkata, di bawah terma MoU itu, kedua-dua pihak akan menilai daya maju projek CCS yang berpotensi di lokasi terpilih di luar pesisir Semenanjung Malaysia dan mengenal pasti teknologi yang sesuai dalam skop pemerangkapan, pengangkutan dan penyimpanan karbon untuk aplikasi yang berpotensi.

Ia berkata, syarikat itu juga akan berkongsi data teknikal bawah permukaan untuk membolehkan penilaian dan pencirian penstoran CO2.

Data relavan yang berkaitan dengan saluran paip, kemudahan dan telaga juga akan dikongsi untuk menilai potensi penggunaan semula infrastruktur sedia ada untuk pengangkutan dan penyimpanan di lokasi terpilih.

Petronas menambah, MoU itu menyokong usaha berterusannya untuk mengeluarkan dan mengoptimumkan aset minyak dan gasnya dengan cekap bagi menjana sumber untuk membiayai pertumbuhan, memudahkan kemajuan dan membolehkan syarikat menyahkarbon dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Syarikat minyak nasional itu berkata, ini juga merupakan salah satu daripada banyak usaha untuk meletak dan menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini.

Petronas berkata, ia sedang mengambil langkah untuk membina portfolio yang berdaya tahan dan mampan bagi menyokong peralihan ke arah sumber tenaga karbon rendah kepada sifar.

Ini termasuk membangun, menguji dan merintis satu set teknologi dalam projek CCS luar pesisir pertamanya yang ditetapkan untuk suntikan CO2 pada 2025. – MalaysiaGazette