Adly Zahari

MELAKA – Sidang media Pakatan Harapan (PH) esok akan menyediakan pelan tindakan gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata, pelan yang dijadikan Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan untuk PRN Melaka akan memfokuskan kepada pembangunan negeri Melaka pasca Covid-19.

“Kita berhadapan dengan Covid-19 dan kita bukan pulih sepenuhnya dan menghadapi masalah kesihatan dan ekonomi. Kita tahu bukan sahaja di Melaka malah di negeri-negeri lain menghadapi kestabilan politik.

“Sebab itu esok PH akan memberikan fokus kita untuk bagaimana tindakan kita lakukan segera mungkin untuk memulihkan tahap kesihatan rakyat Melaka,” katanya dalam siaran langsung di Facebook beliau malam ini.

Pelan itu akan dilancarkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Adly berkata, PH akan mengadakan dana khusus kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19.

“Ia bagi memastikan anak-anak ini mempunyai pembelaan masa depan khususnya sektor pendidikan kepada golongan ini.

“Apa peranan kerajaan bagi memastikan bahawa apa jamiman untuk anak-anak ini boleh meneruskan kehidupannya dengan baik.

“Tanggungjawab itu harus diambil oleh kerajaan PH, ” katanya lagi. – MalaysiaGazette