KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 akan mendapatnya di klinik Parlimen, esok.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pemberian vaksin itu akan bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
“Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menghubungi klinik Parlimen untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat janji temu bagi penerimaan dos penggalak itu,“ katanya dalam pemakluman sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemberian dos penggalak kepada ahli Parlimen pada 2 November lalu.
Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Oktober lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta. – MalaysiaGazette