Calon Perikatan Nasional N.24 Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub memeriksa pesakitnya ketika mendapatkan rawatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Poliklinik Hidayah, Jasin Bistari, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Mahu mewujudkan klinik rakyat percuma buat golongan miskin antara hasrat Dr Mohd Yadzil Yaakub di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, idea terbabit timbul berdasarkan pengalamannya selama 12 tahun membuka Poliklinik Hidayah di Jasin Bistari di sini.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, beliau menerima pelbagai reaksi daripada pesakit terdiri daripada latar belakang .

“Sebenarnya, sebagai doktor perubatan saya tidak boleh melihat perniagaan poliklinik ini bermotifkan keuntungan semata-mata kerana bagi orang Islam, kita juga dididik dengan sifat mahmudah.

“Sebab itu saya terfikir, jika menang Pilihan Raya Negeri 20 November ini, saya dan rakan-rakan akan memikirkan kaedah untuk mewujudkan klinik rakyat percuma kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika ditemui di polikliniknya hari ini.

Bagaimanapun, menurut Penaung Pertubuhan Gagasan Inovasi & Ekonomi Melaka (GIEM) itu, idea klinik rakyat itu perlu diperincikan supaya usaha murni itu benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

“Mungkin ia bukanlah mudah, tapi tidak mustahil jika diizinkan Allah yang akan saya usahakan dengan bantuan rakan-rakan lain yang berminat,” katanya.

Selain itu, Dr Yadzil yang juga Naib Pengerusi PN Melaka Negeri Melaka berkata, beliau turut bercadang membina sebuah hospital swasta di Jasin memandangan tiada kemudahan sedemikian walaupun Melaka terkenal sebagai pelancongan kesihatan.

“Kita lihat, di Bemban, atau Jasin khususnya terkenal dengan bermacam-macam produk eco pelancongan tetapi tiada satu pun hospital swasta.

“Setakat ini, semua hospital swasta yang ada terletak di Melaka Tengah sedangkan Melaka juga terkenal sebagai pelancongan kesihatan dalam kalangan rakyat Indonesia.

“Walaupun mungkin ada yang berpendapat ramai penduduk kampung di sini, tapi ramai juga mereka yang bekerja di luar Bemban tapi menetap di Jasin kerana mahukan suasana tenang di sini,” katanya.

Ditanya mengenai perjalanan kempennya yang memasuki hari ketika hari ini, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PNĀ  berkata, sehingga kini pihaknyamendapat reaksi positif daripada pengundi.

Menurutnya, walaupun berdepan saingan lima penjuru, beliau yakin setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing termasuk dirinya yang sudah lama menyantuni penduduk sebelum musim pilihan raya.

“Saya tidak boleh memandang rendah kepada mana-mana calon, tetapi saya yakin dengan gerak kerja yang sudah berjalan sejak 12 tahun di sini.

“Penduduk sebenarnya dahagakan pemimpin yang memahami keperluan mereka dari segala sudut merangkumi sudut kesihatan, ekonomi, dan kerohanian yang mampu mewujudkan suasana harmoni di DUN Bemban ini,” katanya.

DUN N24 Bemban yang mempunyai seramai 18,573 pengundi bakal menyaksikan pertembungan lima calon bertanding menjelang hari pengundian 20 November ini.

Ia termasuklah Tey Kok Kiew(PH-DAP) yang juga penyandang DUN Banda Hilir, Datuk Koh Chin Han (BN-MCA) selain dua calon bebas Azmi Kamis dan Ng Choon Koon bagi merebut kerusi penyandang DAP itu pada 2018. – MalaysiaGazette