Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti sebab utama guru yang enggan menerima suntikan vaksin.

KPM juga perlu mencari langkah penyelesaiannya isu itu bagi memastikan pembukaan semula sekolah dapat dijalankan dengan lancar dan selamat.

Jelas beliau,  tindakan keras terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin bukan satu cara penyelesaian yang baik dan bernas.

“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul mengakui antara penjawat awam yang paling ramai tidak menerima suntikan vaksin adalah penjawat awam dari kementerian pendidikan. Jadi, bagaimanakah pihak berkuasa mahu memastikan keselamatan setiap sekolah di seluruh negara?”

“Sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian berhubung isu ini dan kita bimbang ia berlanjutan sehingga hari pembukaan semula sekolah.

“Walaupun KPM tidak membenarkan guru yang belum lengkap dua dos vaksin mengajar secara bersemuka di sekolah, tetapi  bagaimanakah ibu bapa dan murid mengenal pasti guru yang mengajar di sekolah telah lengkap menerima vaksin?,” soal Tong Keong.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, Gerakan telah banyak menerima aduan daripada ibu bapa berhubung kebimbangan mereka dalam isu ini.

“Rata-rata meluahkan rasa kecewa dengan menteri pendidikan susulan gagal menyelesaikan masalah ini.

“Sehubungan itu, kita harap KPM mengambil langkah sewajarnya dengan memberi penjelasan kepentingan penerimaan suntikan vaksin kepada guru-guru yang enggan menerimanya,” kata beliau. – MalaysiaGazette