KUALA – Nilai Jualan Perdagangan Borong & Runcit Malaysia jatuh 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM108.1 bilion pada September 2021, mengecil daripada 10.2 peratus yang dicatatkan pada Ogos manakala berbanding bulan sebelumnya nilai jualan menunjukkan peningkatan 8.1 peratus.

Penurunan dalam Perdagangan Borong & Runcit adalah disebabkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang menguncup 20.9 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM10.8 bilion pada September 2021.

Perdagangan Runcit juga turun -1.1 peratus atau RM0.5 bilion kepada RM44.3 bilion.

Sebaliknya, Perdagangan Borong berkembang semula 0.9 peratus atau RM 0.5 bilion untuk mencapai RM53.0 bilion dalam tempoh yang sama.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit meningkat 8.1 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai
sektor ekonomi termasuk aktiviti sosial seperti ‘dining-in’ serta pelancongan di bawah Pelan Pemulihan Nasional.

Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan 20.9 peratus bagi subsektor Kenderaan Bermotor pada September 2021 disebabkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang merosot 18.1 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM6.5 bilion.

Ini dikuti Jualan Komponen & Aksesori Kenderaan Bermotor dengan -23.2 peratus kepada RM2.4 bilion.

Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor juga menurun 25.3 peratus kepada RM1.1 bilion diikuti oleh Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal dengan pertumbuhan sebanyak 28.4 peratus untuk mencecah RM0.8 bilion.

Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini melonjak 85.2 peratus, diterajui oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang mencatatkan 109.7 peratus apabila operasi perniagaan yang kembali dibenarkan di seluruh negara.

Subsektor Perdagangan Runcit, penguncupan 1.1 peratus disumbangkan oleh Jualan Runcit di Kedai Khusus yang merosot 9.8 peratus atau RM0.9 bilion kepada RM8.4 bilion.

Jualan Runcit Barangan Isi Rumah juga turun -3.9 peratus atau RM0.2 bilion kepada RM5.7 bilion.

Sebaliknya, kumpulan lain dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan 5.3 peratus, Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau 6.4 peratus, Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar 28.2 peratus, Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi 4.5 peratus, Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan 0.3 peratus, Jualan Runcit di Gerai & Pasar 10.7 peratus, dan Jualan Runcit
Kelengkapan Informasi & Komunikasi 0.3 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, Perdagangan Runcit meningkat 4.6 peratus dengan semua kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif.

Pertumbuhan 0.9 peratus bagi subsektor Perdagangan Borong pada bulan ini disumbangkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong yang meningkat 3.7 peratus atau RM0.7 bilion kepada RM20.3 bilion diikuti oleh Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau dan Jual Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup yang berkembang masing-masing 6.3 peratus dan 8.6 peratus.

Bagaimanapun, Jualan Borong Barangan Isi Rumah, Jualan Borong Jentera, Peralatan & Bekalan dan Jualan Borong Berdasarkan Yuran atau Kontrak masing-masing merosot 8.7 peratus, 3.7 peratus dan 14.3 peratus.

Untuk perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 2.2 peratus.

Indeks jualan runcit melalui internet merekodkan pertumbuhan 18.1 peratus tahun ke tahun (Ogos 2021: 13.8 peratus).

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini meningkat5.7 peratus berbanding bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast