Wan Kuzain.

KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tempatan bakal menyaksikan kelibat pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 pada Disember ini.

Berita itu dikongsikan oleh bapanya menerusi satu komen di media sosial Facebook apabila seorang peminat bertanya sesuatu mengenai perkembangan anaknya untuk panggilan ke skuad kebangsaan.

Namun begitu, Wan Kamal membalas komen tersebut dengan menyatakan ada sesuatu yang besar sedang menanti pada hujung tahun ini dan beliau memberi bayangan anaknya bakal dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

“InsyaAllah kena sabar dan tunggu hujung tahun ini. Ada sesuatu yang besar akan datang,” tulisnya.

Komen daripada Wan Ahmad Kamal turut membangkitkan rasa teruja dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan mereka tidak sabar menunggu pengumuman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Wan Kuzain, 23, kini beraksi bersama Rio Grande Valley FC dalam saingan Kejuaraan USL musim ini.

Dia sebelum ini pernah dipanggil menyertai kem latihan skuad bawah 23 tahun negara ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi Sukan SEA pada tahun 2019.

Bagaimanapun, hasratnya untuk menyarung jersi Malaysia ketika itu tidak kesampaian kerana masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan oleh FAM sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup.

Situasi itu tidak mematahkan semangat Wan Kuzain dan dia dilihat masih berminat untuk menyarung jersi Harimau Malaya di pentas antarabangsa selepas melihat penampilan Dion Cools dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 bulan Jun lalu.

Melihat kepada minatnya itu, FAM mungkin sudah bertindak lebih awal dan melakukan kerja mereka dalam urusan dokumentasi pemain tersebut.

FAM dijangka akan mengumumkan senarai rasmi 30 pemain ke Piala Suzuki AFF 2020 dalam masa terdekat.

Jika disenaraikan, kehadiran Wan Kuzain yang juga adik kepada Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Faysha akan memberi banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe untuk membentuk barisan yang mantap dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.

Pasukan Harimau Malaya akan berkumpul selepas tamat saingan separuh akhir Piala Malaysia pada 26 November ini manakala pemain daripada kelab yang layak ke final Piala Malaysia akan menyertai kem latihan pusat selepas 30 November ini. – MalaysiaGazette