Calon bebas N.06 Rembia, Murali Krishnan (tengah) bersemangat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kampung Tebat, Alor Gajah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 10 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Ketika 111 calon bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah berkempen memasuki hari keempat hari ini, berbeza pula bagi calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia pula masih belum bersedia ‘membazirkan’ wang rakyat yang diamanahkan kepadanya bagi tujuan meraih undi.

K Murali, 53, berkata, beliau sehingga ke hari ini tidak melakukan persiapan seperti menempah bendera lambang pokok digunakannya mahupun mencetak risalah untuk diedarkan kepada 15,756 pengundi DUN berkenaan.

Beliau mempunyai alasan tersendiri kerana pencalonannya menggunakan wang rakyat, justeru ianya perlu dibelanjakan secara berhemah sekaligus mengelakkan pembaziran.

“Sehingga hari ini, saya masih mencongak-congak kos untuk mencetak bahan kempen kerana memikirkan adalah lebih baik jika wang itu dapat disalurkan membeli keperluan asas rakyat.

“Bukan tidak perlu langsung bahan kempen, tapi saya masih belum bersedia untuk membazir, lagi pun dalam keadaan sekarang, pengaruh media sosial itu lebih besar daripada kempen cara tradisional yang perlu memasang banyak bendera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebat, Alor Gajah di sini.

Menurutnya, dia bersyukur apabila tiga rakan karibnya, Azizah Harun, Lye Wah Min, dan Sharudin Sulaiman turut senada dengan pandangannya itu.

“Tambahan pula, merekalah yang bertanggungjawab mencalonkan saya bertanding pada PRN kali ini yang hanya diputuskan dalam masa lima hari sebelum penamaan calon 8 November lalu.

“Malah, kos bagi deposit calon dan lain-lain keseluruhannya berjumlah RM8,000 juga berjaya dikumpul hanya dalam tempoh dua jam hasil sumbangan rakan dan rakyat yang pernah dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami dikenali Persatuan Pengguna Alam Sekitar Melaka (PPASM) yang aktif sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Calon bebas N.06 Rembia, Murali Krishnan bercakap kepada media pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kampung Tebat, Alor Gajah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 10 NOVEMBER 2021.

Beliau yang juga Presiden PPASM juga berterima kasih kepada semua penyumbang dana semata-mata mahu melihatnya terus aktif memperjuangkan nasib pengguna dan rakyat di negeri ini tanpa melihat warna kulit.

Jelasnya walaupun berat untuk menerima pencalonan itu, namun beliau menganggapnya sebagai satu amanah besar bagi memastikan lebih banyak rakyat dapat dibantu sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat kelak.

“Pencalonan saya ini adalah atas amanah rakyat kerana mereka sudah merasai pelbagai bantuan diterima menerusi gerak kerja PPASM tanpa mengharapkan satu sen pun dana atau geran dari kerajaan mahupun wakil rakyat.

“Selama ini, setiap apa sumbangan dilakukan PPASM yang mempunyai lebih 7,000 keahlian di seluruh Melaka adalah hasil sumbangan ahli dan orang ramai serta NGO lain,” katanya.

Tambahnya, mungkin disebabkan itu, ada penerima sumbangan PPASM yang pernah dibantu sebelum ini sanggup membalas jasanya dengan cuba melantiknya menjadi calon wakil rakyat.

Antara alasan yang sering diterima katanya, adalah penduduk setempat mahu segala bantuan kebajikan yang diberikan NGO berkenaan sebelum ini diperluaskan dan ditambah baik sekiranya beliau sudah berada di kerusi pembuat dasar dalam kerajaan kelak.

DUN Rembia bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru pada PRN 20 November ini membabitkan Murali, Zamri Pakiri mewakili Pakatan Harapan dari PKR, Sabarudin Kudus (Bebas), Datuk Muhammad Jailani Khamis (BN-UMNO) dan Zamzuri Arifin (PN-Bersatu).

Keseluruhannya, seramai 112 calon daripada pelbagai parti politik dan individu merebut 28 kerusi DUN dengan percahan 90 calon mewakili lima parti politik selain 22 calon bebas

Daripada jumlah itu, 28 calon diterima masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan seorang calon mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN). – MalaysiaGazette