Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP menyambut baik pengumuman Adly Zahari sebagai calon pilihan Ketua Menteri Melaka oleh Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Adly adalah calon yang paling sesuai memandangkan beliau adalah bekas Ketua Menteri PH Melaka selama 22 bulan.

Adly diterima ramai dan terkenal sebagai ketua menteri yang mesra rakyat dengan latar belakang yang bersih dalam melaksanakan dasar berjiwa rakyat untuk rakyat Melaka tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

”Memilih Adly juga akan membantu PH untuk kembali ke landasan yang betul dengan agenda reformasi kami selaras dengan cita-cita dan prinsip PH yang dekat dengan aspirasi rakyat biasa.

”Manifesto pilihan raya PH Maju Bersama Rakyat merangkumi 32 inisiatif untuk membantu rakyat dan perniagaan dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Guan Eng menambah, nersatu di belakang calon Ketua Menteri yang berwibawa seperti Adly, PH menawarkan alternatif yang tulen berbanding dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PH) atau Barisan Nasional (BN) yang gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang menyebabkan rekod jangkitan dan kematian tertinggi serta gagal mengatasi kemelesetan ekonomi.

Kedua-dua PN dan BN tidak mempunyai kredibiliti dan rekod prestasi dalam menyatupadukan rakyat, bersikap inklusif dan mendahulukan rakyat daripada kroni.

Menurutnya, DAP juga menyokong cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan debat di televisyen antara calon Ketua Menteri PH dan BN Melaka bagi membolehkan pengundi membuat pilihan dengan maklumat yang tepat.

Malangnya PN masih tidak dapat memutuskan calon mereka untuk ketua menteri.

Dalam pada itu, DAP menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa bertindak segera supaya semua pihak diberi masa saksama di televisyen dan radio untuk berkempen bagi pilihan raya Melaka berikutan larangan calon dan parti politik berkempen atau bertemu pengundi. – MalaysiaGazette