Datuk Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur berjaya memperoleh bayaran saman berjumlah RM231,000 dalam tempoh masa enam jam hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, nilai saman itu membabitkan sebanyak 1,899 saman yang dijelaskan oleh warga kota.

Katanya, angka itu dicapai dalam masa yang singkat menerusi program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

“Kutipan saman sejak ditawarkan diskuan 50 peratus saman trafik pada program sehari bermula 10 pagi tadi, hanya dalam tempoh enam jam sehingga 4 petang tadi.

“Ini satu pencapain terbaik yang mana platform sebegini memudahkan masyarakat menyelesaikan masalah tunggakan saman mereka kepada polis menerusi program seumpama,” katanya selepas hadir menyempurnakan Program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di Pusat Membeli Belah Publika Solaris Dutamas.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga membuka kaunter masing-masing.

Selain itu, Jabatan Siastan Jenayah, Narkotik, Komersial dan Bahagian D11 Kuala Lumpur turut mengadakan ruang pameran bagi menyediakan maklumat mengenai jenis jenayah yang dikendalikan polis.

Orang ramai turut mengambil kesempatan mendengar taklimat ringkas mengenai kes-kes membabitkan tangkapan dan tahanan reman dan tindakan hukuman dalam kes-kes tangkapan narkotik.

Katanya, program bertemu pelanggan bersama polis akan diperluaskan lagi ke daerah lain tertumpu kepada kawasan perumahan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), bukan sekadar di kawasan tumpuan golongan elit atau pusat membeli belah sahaja. -MalaysiaGazette