Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Inisiatif meningkatkan nilai ambang keberhutangan syarikat kepada RM50,000 secara kekal bertujuan mengurangkan risiko usahawan daripada gulung tikar akibat pandemik Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan kerajaan mengekalkan inisiatif tersebut adalah selepas mengambil kira langkah terbaik untuk membantu para usahawan.

“”Saya ingin beri pencerahan, nilai ambang (keberhutangan) sebelum ini kita tetapkan secara bertempoh tetapi kini diputuskan ia berterusan tak ada tempoh lagi.

“Ini sangat membantu golongan (usahawan) terkesan (Covid-19),” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Alexander menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PN) mengenai inisiatif kerajaan menaikkan nilai keberhutangan bagi membantu syarikat daripada gulung tikar.

Sebelum ini, nilai ambang itu diwartakan di bawah perenggan 466(1)(a) Akta Syarikat 2016 setelah mengambil kira keadaan ekonomi global ketika negara yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Menjawab soalan asal, Alexander berkata, berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 21,397 permohonan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) telah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 antara 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 15,053 permohonan adalah daripada golongan B40 dan 6,344 permohonan diterima daripada pelajar institusi pengajian tinggi sepenuh masa.

Manakala sebanyak 21,107 perniagaan milikan tunggal dan 290 perniagaan perkongsian telah didaftarkan melalui SPPP dalam tempoh tersebut.

“SSM masih lagi membuka peluang serta mensasarkan lebih 100,000 pendaftaran baharu melalui skim ini untuk merancakkan lagi fasa pemulihan ekonomi negara akibat daripada kemeseletan pendapatan yang terjejas akibat pandemik covid-19 yang dirancangkan oleh Kerajaan di dalam Bajet 2022.

“Skim ini diharap dapat memanfaatkan golongan B40 dan juga pelajar sepenuh masa di Insitut Pengajian Tinggi Awam, Insitut Pengajian Tinggi Swasta, politeknik, Kkolej, institut kemahiran dan pusat kemahiran di dalam negara untuk mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tanpa dikenakan fi bagi pendaftaran baharu serta maklumat perniagaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sebagai galakan kepada orang ramai untuk menceburi bidang perniagaan dan memanfaatkan SPPP, SSM pada tahun ini telah melancarkan kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ bagi memberi kesedaran dan galakkan kepada bakal usahawan untuk mendaftarkan perniagaan mereka serta memperkenalkan kemudahan dan inisiatif yang disediakan oleh SSM.

“Pada tahun hadapan, SSM juga akan meneruskan program Usahawan Muda bagi memberi pendedahan serta galakkan kepada pelajar dan belia untuk menceburi bidang perniagaan serta membantu melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kompetitif dan berdaya saing. Program ini akan diadakan dengan kolaborasi bersama Institut Pengajian Tinggi dan Persatuan Belia Negeri. – MalaysiaGazette