Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dipohon untuk menarik diri daripada mendengar mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan kes gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan berkenaan pada awal bulan ini melalui Tetuan Geethan Ram.

Beliau turut memohon supaya kes beliau itu didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi lain.

Alasan yang diberikan Rosmah kerana ketika ini Hakim Mohamed Zaini sedang mendengar kes rasuah solar yang sedang dihadapinya.

Jelasnya, keterangan serta bahan lain yang diperlihatkan dan diperdengarkan di mahkamah bagi kes rasuah itu juga mungkin akan mempengaruhi hakim berkenaan pada pendengaran kes AMLA dan LHDN.

Rosmah ketika ini dalam proses membela diri bagi kes tersebut dihadapan Mohamed Zaini.

Bagi beliau, adalah lebih baik dirinya diadili dengan baik dan tidak prejudis.

Rosmah awal Februari lalu telah diarah untuk membela diri atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Perbicaraan bersambung dengan Rosmah membela diri pada 8 Disember ini.

Dalam pada itu, Rosmah juga didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan diperuntuk bawah sesyen ini.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – MalaysiaGazette