Nik Ezanee Mohd Faisal meninjau operasi mencari barang kes yang disyaki dibuang suspek dalam kes bunuh seorang Ah Long di hadapan sebuah restoran di Bukit Tinggi Klang dalam kejadian pada 6 November 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Selangor tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan kumpulan kongsi gelap dalam kejadian pembunuhan melibatkan seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Klang pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komissioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ia berdasarkan siasatan awal polis.

“Saya nak ingatkan, polis tidak pernah pejam mata akan pembabitan kumpulan kongsi gelap ini.

“Pihak polis akan melihat peruntukan undang-undang sama ada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA atau Akta Pencegahan Jenayah (Poca) untuk tindakan selanjutnya dalam kes berkenaan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi mencari barang kes kejadian penmbunuhan mangsa ah Long itu di Sungai Klang bermula 1.30 tengah hari tadi.

Beliau turut mengingatkan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang masih bergiat aktif akan turut diburu polis sehingga lubang cacing.

“Kita juga akan kaji nama-nama kumpulan kongsi gelap seperti 24, 18, five colors dan beberapa nama kongsi gelap lagi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka,” ujar beliau.

Pada 6 November lalu, seorang lelaki dipercayai ah long ditemui maut disyaki ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi di Klang.

Menerusi siasatan awal polis, seramai 16 suspek diberkas dipercayai terlibat dalam kejadian ini dan telah direman untuk membantu siasatan kes.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam kenyataan berkata, seorang lelaki tempatan yang juga disyaki suspek utama yang menetak mangsa telah diberkas sekitar jam 6.30 petang di Jenjarom.

Suspek yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia 33 tahun.- MalaysiaGazette