KUALA LUMPUR – Syarikat pembinaan yang berpangkalan di Johor, Haily Group Berhad (Haily) akan melaksanakan projek perumahan komuniti di Kulai, Johor bernilai RM14.57 juta.

Projek ini akan dibangunkan oleh anak syarikatnya, Haily Construction Sdn Bhd selepas menerima Surat Anugerah (LA) daripada Nice Frontier Sdn Bhd, anak syarikat IOI Properties Group Berhad.

”Pemberian projek terbaru ini akan meningkatkan nilai projek kami yang kini berjumlah RM543.22 juta, melibatkan 22 projek pembinaan bangunan dan dua projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam yang sedang dijalankan.

”Kontrak terbaru ini akan membuatkan kami sibuk untuk 16 bulan akan datang dan akan menyumbang kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan Haily bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023,” kata Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai.

Projek itu melibatkan cadangan pembinaan dan penyiapan 216 unit rumah bandar strata berukuran 20 kaki x 60 kaki (9 blok), pejabat pengurusan dan pencawang TNB.

Tempoh kontrak adalah 16 bulan dari tarikh permulaan, yang akan dimaklumkan kepada Haily sewajarnya.

Beliau percaya pengumuman baru-baru ini oleh kerajaan Malaysia dalam Bajet 2022 untuk meremajakan sektor hartanah tempatan akan meningkatkan pemulihan industri pembinaan tahun depan.

Untuk rekod, Haily Construction telah menerima projek kediaman yang dianugerahkan oleh Factor Synergy Sdn Bhd pada 5 November 2021, anak syarikat milik penuh TA Global Berhad bernilai RM23.70 juta.

Haily Construction, pada 2 November 2021, telah menerima projek perumahan oleh Gunung Impian Development Sdn Bhd untuk projek kediaman yang terletak di Tebrau, Johor bernilai RM27.21 juta. – MalaysiaGazette