Gambar hiasan

JIKA menonton berita dan siaran langsung program tertentu di TV1 dan TV2 kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM), penonton di kaca televisyen sudah terbiasa melihat di penjuru bawah kanan ada individu yang ligat ‘bersilat’ tangannya siap dengan pakej memek muka sekali tanda menjiwai kandungan yang disampaikan. Itulah sumbangan besar jurubahasa isyarat agar setiap informasi dapat difahami oleh penonton istimewa yang mengalami masalah pendengaran dan bisu.

Kita mungkin terlupa bahawa penerimaan golongan istimewa ini terhadap sesuatu mesej adalah berbeza terutama dalam penyampaian ilmu dengan kefahaman mereka bergantung kepada cara kita menyampaikannya dalam bahasa isyarat, sarikata atau bahasa visual. RTM mula menonjolkan jurubahasa isyarat dalam berita ringkas pada 1986 menerusi program Selamat Pagi Malaysia, maknanya sudah 35 tahun istiqamah RTM meraikan Orang Kelainan Upaya(OKU) dalam penyampaian beritanya.

Tahun hadapan sesuatu yang menarik kerajaan sediakan untuk minoriti OKU yang boleh membuatkan mereka melekap di depan televisyen menonton siaran berita. Khabar gembira ini diumumkan dalam pembentangan belanjawan negara di Dewan Rakyat baru-baru oleh Menteri Kewangan. Dari pemerhatian penulis, tahun kedua bentang bajet negara yang berjumlah kesemunya RM 332.1 bilion, angka terbesar dalam sejarah, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz nampak lebih steady membentangkan butiran Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera pada bulan lalu.

Antara intipati bajet yang menarik perhatian penulis ini ialah OKU terus mendapat perhatian khusus oleh Kerajaan untuk memastikan golongan ini terus diperkasakan dan diiktiraf kemampuan yang mereka miliki. Salah satunya ialah menjadikan OKU seperti pekak dan bisu mempunyai akses yang lebih luas kepada informasi media dan berita semasa. Kaedahnya Kerajaan menetapkan mulai tahun hadapan semua rangkaian penyiaran termasuk swasta akan mempunyai jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.

Dengan ada sesetengah saluran yang menjadikan berita sebagai ‘minyak pelarisnya’ 24 jam sehari, pastinya permintaan kepada keperluan jurubahasa isyarat lebih tinggi. Mungkin ini juga menjadi pintu rezeki kepada OKU yang berkebolehan untuk muncul di kaca televisyen menjadi pembaca berita ‘senyap’ selepas ini. Bak kata pepatah ‘Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan nak dapat sagunya’.

Ketika ini masih rendah program di televisyen yang mesra tontonan untuk OKU kerana tiadanya jurubahasa isyarat atau sarikata. Justeru, bermula dengan program berita, penulis mengharapkan ia menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kandungan televisyen yang mesra OKU dan lebih jauh ke hadapan, bahasa isyarat turut dimasukkan dalam silibus di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Melalui Bajet 2022 juga kita melihat kerajaan komited untuk sentiasa menambah baik kemudahan untuk OKU dari semasa ke semasa. Peruntukan menaik taraf infrastruktur bangunan Kerajaan sebanyak RM30 juta untuk menjadi lebih mesra OKU seperti menyediakan lebih banyak laluan khas untuk bagi golongan cacat penglihatan adalah sesuatu yang amat disambut baik. Selepas ini, OKU akan berasa lebih ‘selesa’ untuk bertandang ke premis kerajaan mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerana terdapat penambahbaikan kemudahan yang menepati keperluan mereka.

Langkah ini sewajarnya menjadi ikutan kepada pihak swasta untuk turut ‘berbelanja’ bagi menjadikan premis mereka mesra OKU. Penyediaan peruntukan lain untuk manfaat OKU antaranya RM10 juta untuk melaksanakan latihan melalui Pusat Latihan Berdikari dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan; kuota khusus satu peratus dalam MyStep dan percuma bayaran Lesen Kenderaan Motor untuk semua kenderaan persendirian merupakan bukti Kerajaan amat cakna pada setiap keperluan entiti kecil dalam Keluarga Malaysia. Setiap pendekatan yang akan diambil oleh Kerajaan dalam memastikan kebajikan golongan OKU ini sentiasa dibela perlu disambut dengan tindakan yang positif dan proaktif oleh semua pihak kerana kita adalah satu keluarga, Keluarga Malaysia.

 

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast