drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri merupakan antara tiga individu yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di kawasan Jalan Yew Pudu dan Taman Desa Petaling, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Sahar Abdul Latif berkata, kesemua suspek ditahan menerusi operasi yang dijalankan semalam.

“Polis berjaya memberkas dua lelaki tempatan dan seorang perempuan warganegara asing berusia dalam lingkungan 34 hingga 55 tahun yang mana suspek wanita dalam kes ini adalah isteri kepada suspek kedua yang ditangkap polis.

“Serbuan pertama yang telah dijalankan di hadapan kedai frozen food atau makanan sejuk beku di Jalan Yew, Pudu telah berjaya membawa kepada menahan suspek pertama.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 254 gram di dalam bungkusan plastik yang dipegang suspek selain turut dirampas wang tunai berjumlah RM200 disyaki hasil kegiatan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan awal yang dijalankan serta berpandukan maklumat suspek pertama, polis menahan seorang lagi suspek di hadapan sebuah restoran di Jalan Yew.

Kata beliau, pemeriksaan ke atas suspek kedua, polis merampas dadah jenis methapatamine seberat 10 gram selain merampas wang berjumlah RM247.

Menurutnya, serbuan ketiga dilaksanakan pada hari yang sama di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, di sini.

“Hasil pemeriksaan di rumah kondominium itu pasukan narkotik berjaya merampas dadah jenis methapatamine seberat 875 gram dan ketamin seberat 734 gram.

“Siasatan dijalankan mendapati premis tersebut dijadikan tempat penyimpanan dadah dan telah disewa selama sebulan oleh seorang suspek dengan bayaran sewa RM1,200 sebulan,” katanya.

Tambahnya, ujian saringan dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

“Semakan dijalankan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.

“Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – MalaysiaGazette