Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan reman tiga individu bagi membantu siasatan kes membabitkan pembunuhan seorang lelaki dipercayai ah long di hadapan sebuah restoran di Bukit Tinggi, Klang pada Sabtu lalu.

Ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan itu direman bermula hari ini hingga 17 November depan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

“Kita tangkap dan menghadapkan kesemua tiga suspek itu di Mahkamah Majistret Klang pagi tadi dan perintah reman itu dikeluarkan ke atas mereka yang berumur antara 18 sehingga 46 tahun itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Pada Sabtu lalu, seorang lelaki dipercayai ah long maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, lelaki berusia 47 tahun itu bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun sedang menuju ke kereta selepas menikmati makanan di sebuah kopitiam.

Mangsa yang dipercayai didatangi dua penjenayah ditetak dengan parang namun beliau sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah dan  maut di hadapan sebuah restoran lain.

Semalam, polis daerah Klang Selatan meneruskan pencarian barang kes iaitu parang yang disyaki digunakan suspek untuk menetak mangsa yang difahamkan telah dicampak ke dalam Sungai Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan awal mendapati tidak menolak kemungkinan penglibatan kumpulan kongsi gelap dalam pembunuhan ah long itu. – MalaysiaGazette