Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin (dua kiri) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) melihat kolum pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa komited menjaga kebajikan semua kaum di negara ini seterusnya memastikan tidak ada yang tersisih termasuk kaum India.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep Keluarga Malaysia memberi fokus kepada nilai kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran yang merupakan benih mencambahkan penyatuan rakyat Malaysia selama ini.

“Walaupun kita terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan agama, bahasa dan budaya yang berlainan, semangat perpaduan dan kerjasama diamalkan membolehkan kita hidup dalam suasana aman sejahtera.

“Perbezaan ini juga menjadikan kita sebagai satu masyarakat yang kaya dengan budaya, malah menjadi faktor penyatu dikagumi masyarakat luar negara kita.

“Justeru sempena meraikan kegembiraan menyambut Deepavali, marilah kita menyemai semangat Keluarga Malaysia agar perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini terus kukuh,” katanya ketika berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021 di Pusat Pelancogan Malaysia (Matic), Jalan Ampang  hari ini.

Menurut Ismail Sabri, dalam Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM145 juta bagi memperkasa sosio ekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh Tekun Nasional.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelaksanaan aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berharap supaya perayaan ini dapat memekarkan lagi perpaduan, menyimpulkan ikatan tali perhubungan antara Keluarga Malaysia dan keharmonian sesama kita di negara yang tercinta ini.

“Nilai-nilai murni ini turut ditekankan dalam setiap agama dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya demi keharmonian, kemakmuran dan kemajuan negara.

“Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu,” ujarnya. – MalaysiaGazette