Seramai 48 pengunjung dan seorang pemilik pusat hiburan yang didapati melakukan kesalahan mengingkar SOP di bawah Fasa 4 PPN Kuala Lumpur dikompaun berjumlah RM265,000 dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh, KL lewat malam tadi. Gambar Ihsan IPK KL.

KUALA LUMPUR – Seramai 48 orang pengunjung yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan, di sini, dikompaun polis kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob berkata, seramai 14 pegawai dan anggota dari JPJKK telah melakukan serbuan ke atas sebuah remis pusat hiburan di Jalan Ipoh pada lewat malam tadi.

“Hasil serbuan yang dijalankan mendapati premis tersebut telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 bagi Kuala Lumpur.

“Pemilik premis berkenaan telah dikenakan kompaun bernillai RM25,000,” katanya dalam kenyataan mengenai Ops Khas Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

48 pengunjung dan seorang pemilik pusat hiburan yang didapati melakukan kesalahan mengingkar SOP dibawah Fasa 4 PPN Kuala Lumpur dikompaun berjumlah RM265,000 dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh, KL lewat malam tadi. Gambar Ihsan IPK KL.

Tambah beliau, seramai 48 pengunjung yang berada di dalam premis hiburan itu dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap individu, menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan berjumlah R265,000 kerana dikesan mengabaikan pematuhan SOP yang ditetapkan.

“Dalam serbuan yang sama juga, seramai 49 orang pengunjung telah dilibatkan dalam saringan ujian air kencing dan hasil keputusan mendapati seramai 13 daripadanya didapati positif dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Operasi seperti ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kalangan warga Kuala Lumpur khususnya dan membantu usaha kerajaan dalam menghentikan penularan Wabak Covid-19 dalam negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette