Supermax
Supermax Corp. Bhd.

KUALA LUMPUR – Kanada telah menghentikan import daripada pembuat sarung tangan Supermax sementara menunggu keputusan audit, beberapa minggu selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas syarikat itu atas dakwaan menggunakan buruh paksa.

Selepas Amerika Syarikat menggantung import Supermax bulan lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perolehan Kanada pada hari Rabu berkata, ia menggantung penghantaran Supermax kerana menunggu laporan Supermax Healthcare Canada yang dijangka diterima pada pertengahan bulan ini.

“Berdasarkan situasi semasa, Kanada telah berhubung dengan syarikat itu untuk mendapatkan jaminan bahawa Supermax Corp tidak terlibat dalam amalan buruh paksa,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Supermax belum lagi mengulas.

Ia merupakan syarikat kelima dari Malaysia yang dikenakan larangan import dalam tempoh 15 bulan atas dakwaan penggunaan buruh paksa.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat telah mengeluarkan “Perintah Pelepasan Penahanan” pada 21 Oktober yang melarang import daripada Supermax berdasarkan maklumat munasabah yang menunjukkan penggunaan buruh paksa dalam operasi pembuatannya.

Supermax berkata, ia sedang berhubung dengan agensi Amerika Syarikat itu untuk mendapatkan lebih banyak penjelasan dan ia telah menugaskan firma perunding bebas untuk menjalankan audit ke atas status pekerja asing di kilangnya.

Kanada berkata, ia akan menentukan langkah seterusnya selepas menyemak laporan daripada unit Supermax di negara ini.

“Kerajaan Kanada komited untuk memastikan ia tidak menjalankan perniagaan dengan syarikat yang menggunakan amalan tidak beretika, sama ada secara langsung atau dalam rantaian bekalan mereka,” tambahnya. – Reuters