Gambar Hiasan

HULU SELANGOR – Seorang lelaki ditahan selepas memukul dan menyamun dua individu selepas menyamar dan mendakwa  sebagai bapa saudara kepada kenalan perempuan kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, polis telah menerima laporan dari kedua-dua mangsa kejadian pada jam 12.03 pagi di Balai Polis Serendah, Hulu Selangor.

“Mangsa dan rakannya yang berusia 18 tahun telah bertemu dengan seorang gadis yang baru sahaja dikenalinya pada Isnin lalu sekitar jam lebih kurang 11.30 pagi.

“Kemudiannya seorang lelaki (suspek) yang mendakwa dirinya sebagai bapa saudara kepada gadis berkenaan secara tiba-tiba turut bertindak menuduh kedua-dua mangsa melakukan perkara yang tidak baik kepada anak saudaranya itu,” kata beliau dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah beliau, suspek kemudiannya telah bertindak memukul mangsa dan rakannya serta telah merampas telefon bimbit milik mereka.

Suspek turut mengugut mangsa dan rakannya agar menyerahkan wang tunai sebanyak RM500, selain mengugut mahu merampas motosikal milik mangsa.

“Akibat dipukul oleh suspek, mangsa dan rakannya telah mengalami kecederaan di kepala dan perut.

“Bertindak atas maklumat dan laporan polis dari mangsa kejadian, suspek lelaki tempatan yang berusia 33 tahun kemudiannya berjaya diberkas di sebuah rumah yang terletak di kawasan Hulu Selangor.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek polis berjaya merampas kesemua barangan yang disamun suspek dan hasil siasatan mendedahkan suspek merupakan sepupu kepada gadis berkenaan.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan kini berjaya direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette